PETALING JAYA: Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Harimau Malaya, Rob Friend memberi bayangan bahawa lebih ramai pemain berdarah Malaysia dari luar negara bakal diserap ke dalam pasukan kebangsaan.
Menurut Friend, pengumuman tentang kemasukan pemain warisan baharu akan dibuat selepas proses dokumentasi bersama Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) selesai dan perkara itu tidak boleh diulas kerana belum rasmi.
Kesungguhan pengurusan skuad kebangsaan membawa masuk pemain warisan ini membuktikan proses revolusi yang direncanakan sebelum ini bukan sekadar gimik dan cakap kosong semata-mata.
Selepas proses revolusi, tiga pemain warisan telah dibawa masuk bagi memperkasakan skuad Harimau Malaya iaitu pemain tengah Hector Havel serta Gabriel Palmero dan Facundo Garces yang beraksi di posisi pertahanan.
Difahamkan, beberapa pemain lagi akan menyertai Harimau Malaya termasuk penyerang, Imanol Machuca, Rodrigo Holgado dari Argentina dan Jon Irazabal serta Jefte Betancor dari Sepanyol
Langkah membawa masuk pemain warisan ini merupakan pelan yang digariskan dalam revolusi Harimau Malaya yang kini sedang giat digerakkan hasil cetusan visi Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail.
Inisiatif ini bukan semata-mata untuk meraih kemenangan jangka pendek, sebaliknya mahu membentuk sistem bola sepak yang stabil dalam tempoh lima tahun akan datang, termasuk meletakkan Malaysia sebagai kuasa baharu di peringkat serantau dan antarabangsa.-UTUSAN