Gyokeres tolak Man United minat ke Arsenal?

Gyokeres tolak Man United minat ke Arsenal?

Viktor Gyokeres
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LONDON: Viktor Gyokeres dipercayai menolak tawaran Manchester United dan kemungkinan besar Arsenal dan Juventus bakal menjadi pilihan penyerang Sweden itu.

Penyerang berusia 27 tahun itu menarik minta pasukan-pasukan gergasi Eropah selepas memperagakan aksi cemerlang musim lalu bersama Sporting Lisbon dengan meledak 54 gol dalam 52 penampilan, sekali gus membantu kelab itu menjuarai liga utama Portugal. 

Arsenal dan Manchester United dilaporkan bersaing untuk mendapatkan khidmat Gyokeres, yang mempunyai klausa pelepasan bernilai 84 juta pound (RM524.7 juta), namun dipercayai boleh diperoleh pada harga sekitar 70 juta pound (RM437.2 juta).

Pengendali Arsenal, Mikel Arteta, sangat berkeinginan untuk mendapatkan penyerang baharu selepas satu lagi musim tanpa sebarang trofi, dan Gyokeres atau Benjamin Sesko antara pilihan yang mahu dibawa ke Emirates.

Sementara itu, Amorim juga dilaporkan ingin bersama dengan bekas anak buahnya itu di Old Trafford, walaupun United sekadar menamatkan saingan EPL di tangga ke-15 dan gagal melayakkan diri ke Liga Juara-Juara (UCL).

Namun, portal Portugal, Report, pada hujung minggu lalu mendakwa Gyokeres telah menolak tawaran United dan kini lebih berminat menyertai Arsenal.

Situasi itu tampak memberi kelebihan kepada Arsenal dalam perebutan menandatangani penyerang prolifik itu, tetapi keadaan menjadi lebih rumit apabila timbul laporan bahawa The Gunners semakin ‘bosan’ dengan rundingan yang berlarutan bersama pihak pemain dan kelabnya.

Menurut laporan Corriere dello Sport, Juventus turut merancang untuk mengambil kesempatan daripada keadaan itu dengan cuba ‘memenangi’ perpindahan tersebut dan membawa Gyokeres ke Turin.

Dilaporkan bahawa selepas mengadakan perbincangan dengan wakil Gyokeres, kelab gergasi Serie A itu bersedia menawarkan kontrak bernilai 11 juta pound (RM68.7 juta) setahun kepada penyerang Sweden berkenaan. – AGENSI/UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN