FA tidak boleh lepas tangan isu gaji

FA tidak boleh lepas tangan isu gaji

MOHD JOEHARI AYUB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Persatuan Bola Sepak Negeri (FA) tidak boleh lepas tangan apabila timbul isu berkaitan tunggakan gaji kerana kelab bola sepak (FC) masih di bawah seliaan mereka.

Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Mohd Joehari Mohd Ayub berkata, kebanyakan FC masih dimiliki dan ditadbir oleh FA biarpun bergerak secara profesional.

“Kebanyakan FC masih dimiliki oleh FA. Jadi FA masih bertanggungjawab atas pembangunan FC. Ramai yang anggap FA dan FC tidak bergabung.

“Tetapi hakikatnya kedua-dua entiti ini boleh bekerjasama,” katanya dalam sidang akhbar selepas perjumpaan FAM dan MFL bersama FA dan FC di Wisma FAM, baru-baru ini

Menurut Mohd Joehari, pertemuan bersama wakil FA dan FC adalah bagi membincangkan pelan bagi menyelesaikan kemelut tunggakan gaji pemain Liga Malaysia (Liga M).

“Ini bukan isu baharu. Lima tahun lalu pun kita berdepan masalah sama. Kita tidak mahu setiap tahun ada sahaja kelab berhenti operasi kerana isu kewangan.

“Sebab itu kita ambil pendekatan baharu yang lebih tegas dan menyeluruh,” jelasnya.

Tambah Joehari, antara fokus utama ialah memastikan struktur pentadbiran bola sepak di peringkat negeri menjadi lebih sihat melalui kerjasama rapat antara FA, FC, FAM dan MFL.

“Perjumpaan antara FA dan FC akan kita adakan secara kerap. Bukan sahaja secara rasmi, malah secara tidak formal juga, agar komunikasi lebih terbuka dan pantas,” katanya.

Beliau turut menekankan peranan FAM sebagai badan induk dalam memastikan setiap kelab mempunyai sistem kewangan yang kukuh dan tidak membebankan pasukan.

“FAM dan MFL akan berganding bahu dalam usaha membendung isu gaji ini. Kita akan pastikan langkah kawalan diperketat dan setiap FA bertanggungjawab terhadap FC yang berada di bawah mereka,” katanya lagi.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN