KUALA LUMPUR: Pengendali Harimau Malaya, Peter Cklamovski mengakui dirinya menggalas harapan tinggi peminat bola sepak Malaysia untuk menamatkan badi ke atas Vietnam.
Aksi menentang Vietnam dalam perlawanan kedua Kumpulan F Kelayakan Piala Asia 2027 di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam ini menyaksikan Cklamovski membawa dua misi berbeza.
Menamatkan badi kekalahan kepada Vietnam menjadi sasaran, namun apa yang lebih penting ialah Cklamovski mahu memastikan tiga mata penuh menjadi milik skuad kebangsaan.

Harimau Malaya kali ini tampil dengan skuad lebih mantap terutama dengan kehadiran lima pemain warisan ‘gred A’, sekali gus semua mata kini tertumpu kepada percaturan Cklamovski untuk memerangkap skuad Naga Emas.
“Saya faham situasi itu (jangkaan tinggi penyokong). Saya rasa kami ada mentaliti untuk menang dalam setiap perlawanan yang kita hadapi. Kita pun tahu yang sudah lama kita tidak menang ke atas Vietnam.
“Jadi daripada kita perlu rasa takut dengan mereka, itu adalah cabaran yang perlu diambil oleh pemain. Kami mahu mencipta sedikit sejarah pada malam esok (hari ini).
“Peluang sudah ada di hadapan kita jadi kita tidak sabar untuk mengambilnya,” kata Cklamovski pada sidang akhbar pra perlawanan, semalam.
Cklamovksi turut menegaskan pertikaian mengenai asal usul pemain berdarah warisan yang hangat diperkatakan dalam media sosial ketika ini sama sekali tidak mengganggu fokus serta persiapan mereka untuk berdepan Vietnam.
“Perkara itu tidak mengganggu fokus kami secara dalaman. Persiapan kami berjalan dengan baik dan kami ada pemain baharu yang datang dari luar negara tetapi mereka adalah rakyat Malaysia.
“Mereka datang dengan penuh kebanggaan dan anda boleh saksikan mereka begitu teruja setiap kali menjalani sesi latihan serta membentuk suasana kekeluargaan dalam pasukan kebangsaan.
“Kami fokus untuk menjadi pasukan yang kuat dan kami akan lakukan segala-galanya untuk mencapai misi itu,” ujarnya.
Untuk rekod, kedua-dua pasukan berjaya membuka kempen Kumpulan F Kelayakan Piala Asia 2027 dengan langkah kanan, menyaksikan Malaysia menewaskan Nepal 2-0 manakala Vietnam membelasah Laos 5-0.
Perbezaan jaringan menyaksikan Vietnam mendahului Kumpulan F dan kemenangan ke atas Vietnam malam ini akan membolehkan skuad negara mengambil alih kedudukan selaku pendahulu.
Ketika ini, Malaysia dan Vietnam terikat dengan tiga mata, namun skuad Naga Emas berada di tangga teratas Kumpulan F menerusi kelebihan gol.
Impian untuk ke Arab Saudi bukan laluan yang mudah kerana hanya juara kumpulan akan layak secara automatik ke pusingan akhir Piala Asia 2027, menjadikan setiap aksi kini seperti final buat Harimau Malaya.-UTUSAN