MANCHESTER: Manchester United dimalukan West Ham United di Old Trafford selepas kecundang 2-0 dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL), sebentar tadi.
Kemenangan itu juga yang pertama buat West Ham dalam tempoh 18 tahun dengan gol masing-masing dijaringkan oleh Tomas Soucek dan Jarrod Bowen pada setiap babak.
Kemenangan berkenaan juga membolehkan The Hammers memintas kedudukan United di tangga ke-15 dengan 40 mata, Ketika saingan liga berbaki dua perlawanan.
Skuad The Red Devils pula jatuh ke tangga ke-16 dengan 39 mata, skali gus menjadi kempen terburuk mereka dalam saingan EPL.
Dalam aksi itu,West Ham membuka jaringan pada minit ke-26 menerusi sentuhan Soucek yang menyudahkan gerakan menarik di sebelah kiri padang.
Mohammed Kudus melakukan hantaran lintang ke kawasan gol sebelum Soucek muncul tepat pada masanya untuk menolak bola masuk.
Pada babak kedua, Bowen menggandakan kedudukan pada minit ke-57 apabila Kudus sekali lagi memainkan peranan penting.
Larian solo Kudus diakhiri dengan satu rembatan yang terkena Aaron Wan-Bissaka, sebelum pemain pertahanan itu melorongkan bola kepada Bowen untuk disudahkan dari jarak dekat.
Pengurus United, Ruben Amorim sebelum ini menyatakan tumpuan mereka kini lebih terarah kepada aksi final Liga Europa menentang Tottenham Hotspur pada 21 Mei yang mana kemenangan bakal menjamin slot ke Liga Juara-Juara.
Namun kekalahan memalukan itu dilihat sebagai tamparan dalam persiapan mereka menjelang perlawanan penting di Bilbao.-AGENSI