SUBANG: Seramai 66 pemain amatur dan 22 pemain profesional menyertai Kejohanan Golf Pro-Am Tun Ahmad Sarji yang berlangsung di Saujana Golf & Country Club semalam.
Kejohanan ini diadakan bagi memperingati Allahyarham Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid, pengasas Professional Golf of Malaysia (PGM) yang juga tokoh penting dalam pembangunan sukan golf negara dengan sokongan daripada MST Golf dan 13 syarikat korporat.
Saingan edisi kali ini memihak kepada pasukan Shapadu Corporation Sdn. Bhd. yang diketuai pemain profesional, Irfan Syahmi bersama tiga pemain amatur Norhizam, Roslan dan Zaily yang berjaya menampilkan aksi konsisten sepanjang kejohanan.
Tempat kedua pula menjadi milik pasukan Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang dibarisi pemain profesional Shahriffuddin Ariffin serta gandingan tiga pemain amatur iaitu Abdul Aziz Ahmad, Muhammad Azammi dan Abdul Malek.
Pasukan Saujana Golf & Country Club yang dikemudi pemain profesional, Shaifubari Muda turut menunjukkan prestasi memberangsangkan untuk menduduki tempat ketiga dengan gandingan pemain amatur Patrick Wong, Wong Jay Lyn dan Paudzai Ishak.
Majlis penyampaian hadiah telah disempurnakan oleh Pengarah PGM, Yip Jian Lee mewakili pihak penganjur dan penaja utama kejohanan.
PGM turut menyampaikan sumbangan berjumlah RM20,000 kepada Pusat Pengajian Al-Quran sempena kejohanan tersebut dan ia diserahkan oleh anak kepada Allahyarham Tun Ahmad Sarji, iaitu Ariff Tuah Ahmad Sarji kepada Pengerusi pusat berkenaan, Datuk Sulaiman Osman.
Sementara itu, kejohanan utama Piala Tun Ahmad Sarji akan bermula esok di Padang Bunga Raya, Saujana dan dijangka menarik penyertaan 87 pemain profesional termasuk nama-nama besar seperti Galven Green (penyandang juara), Shahriffuddin Ariffin, Paul San dan pemain berpengalaman, Danny Chia.
Kejohanan selama tiga hari itu akan menawarkan jumlah hadiah keseluruhan sebanyak RM180,000.
Bagi kategori wanita, saingan turut dijangka sengit apabila beberapa pemain elit tempatan termasuk Aretha Pan, Zulaikah Nasser, Liyana Durisic dan Winnie Ng bakal merebut hadiah wang tunai berjumlah RM30,000.-UTUSAN