GEORGE TOWN : Tidak pernah ada istilah terlambat untuk menggabungkan kuasa politik orang Melayu di bawah satu payung yang besar iaitu ‘Rumah Bangsa’ seperti yang digagaskan oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi sebelum ini.
Veteran UMNO, Tan Sri Mohd. Yussof Latiff berkata, hal ini kerana, UMNO merupakan satu-satunya parti politik yang diyakini mampu menyatupadukan orang Melayu walaupun parti itu pada suatu ketika dahulu pernah dipinggirkan oleh orang Melayu itu sendiri.
Beliau berkata, pada masa yang sama, UMNO juga tidak boleh dianggap sebagai sebuah parti politik yang ‘berdosa’ hanya kerana ada dalam kalangan pemimpinnya yang pernah lari meninggalkan parti tersebut sebelum ini.
“Dalam hal ini, pemimpin-pemimpin itu sendiri sudah menerima hukuman dan mereka dengan rela hati menyatakan keinginan untuk kembali memperkukuhkan UMNO.
“Saya menyokong penuh inisiatif Presiden (Ahmad Zahid) untuk memperkenalkan konsep atau gagasan ‘Rumah Bangsa’ supaya semua parti Melayu kembali berada di bawah naungan UMNO.
“Kita kukuhkan dan kuatkan semula UMNO kerana inilah wadah perjuangan Melayu yang sebenar. Jangan sesekali lupakan jasa UMNO terhadap orang Melayu,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Mengulas lanjut, Mohd. Yussof yakin lebih ramai bekas pemimpin UMNO yang akan kembali untuk menyertai parti itu selepas dua bekas pemimpin kanan parti iaitu Khairy Jamaluddin dan Datuk Seri Hishammuddin Hussein berbuat demikian baru-baru ini.-UTUSAN.










