NARATHIWAT: Lima lelaki dipercayai anggota kumpulan pemisah di Selatan Thailand diberkas dalam dua operasi di Yala dan Narathiwat, kurang 24 jam selepas dipercayai menghadiri sambutan Melayu Raya 2026 di Pattani.
Kesemua suspek berusia antara 20-an hingga 30-an itu ditahan tanpa sebarang insiden selepas pasukan keselamatan menerima maklumat awam mengenai pergerakan mereka.
Sumber Pusat Operasi Keselamatan Dalam Negeri Wilayah 4 (ISOC 4) berkata, empat daripada mereka adalah anggota kumpulan pemisah peringkat operasi yang aktif di Wilayah Yala dan Narathiwat manakala seorang lagi masih dalam siasatan.
Katanya, tiga daripada mereka ditahan dalam operasi di sebuah kampung di Mukim Yupo, Daerah Mueang, Yala, semalam manakala dua lagi ditahan dalam satu sekatan jalan raya di Mukim Tanjong Mas, Daerah Rangae, Narathiwat, kelmarin.
“Pasukan keselamatan mengepung sebuah rumah di Kampung Buena Yamu, Mukim Yupo pukul 5.30 pagi selepas menerima maklumat orang ramai. Ketiga-tiga suspek menyerah diri setengah jam kemudian selepas rundingan diadakan.
“Pihak berkuasa turut menahan pemilik rumah untuk soal siasat. Dua pucuk pistol bersama peluru turut dirampas,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini, semalam. – UTUSAN










