KUALA LUMPUR: Presiden Olahraga Malaysia (MA), Datuk Seri Shahidan Kassim memberi jaminan kemelut yang melanda atlet olahraga pada ketika ini akan ditangani secara menang-menang tanpa bersikap berat sebelah kepada pihak tertentu.
Beliau berkata, apa yang paling penting adalah fakta dan kebajikan atlet tidak akan sesekali diabaikan.
“Kita telah membuat persediaan untuk Sukan SEA. Jadi kita berharap akan buat yang terbaik.
“Kita akan menyiasat, saya baru dapat maklumat dan kita akan ambil tindakan serta-merta, dalam situasi menang-menang,” katanya kepada pemberita sewaktu menghadiri Mesyuarat Agung Majlis Olimpik Malaysia (MOM) di sini, semalam.
Kelmarin, media melaporkan kem olahraga kembali panas apabila beberapa atlet pecut membuat keputusan memboikot sesi latihan mereka yang dikendalikan oleh Pengarah Teknikal Olahraga Malaysia, Robert Ballard sejak bulan lalu.
Atlet dikatakan turut menerima ugutan akan dibuang daripada program jika mereka bersuara meluahkan rasa tidak puas hati terhadap cara pengurusan Ballard.
Shahidan berkata, beliau enggan memberikan sebarang maklum balas tanpa berlandaskan fakta dan siasatan terperinci bakal dilaksanakan bagi mencari keadilan.
“Kita ada mesyuarat majlis pada 24 April ini, saya tidak mahu latihan atlet terganggu, jadi, sementara menanti mesyuarat diadakan, latihan mesti diteruskan,” katanya.
Kata beliau, pihaknya tidak boleh ambil tindakan yang mendadak dan dalam masa sama, atlet perlu menjalani latihan seperti biasa.
Ketika ditanya mengenai tindakan atlet memboikot latihan, Shahidan enggan mengulas mengenai isu tersebut bagi mengelak kemelut yang melanda bertambah kusut.
“Itu bukan cara saya, cara saya ialah cuba untuk mengurangkan masalah. Itu pendirian saya, kalau soalan-soalan untuk berseronok menimbulkan persepsi dan sebagainya, saya tidak akan buat, kita ambil tindakan untuk kebaikan,” katanya.
Shahidan juga enggan menjawab tentang kedudukan Ballard yang bakal tamat kontrak pada Jun kerana apa yang lebih penting ialah masalah yang berlaku dapat diselesaikan cara baik.-UTUSAN