PETALING JAYA: Toh Puan Na’imah Abdul Khalid menafikan sebarang bentuk usaha untuk menggulingkan kerajaan seperti yang didakwa pihak tertentu.
Menurut isteri bekas Menteri Kewangan, Allahyarham Tun Daim Zainuddin itu, cubaan mengaitkannya dengan pendedahan laporan oleh Bloomberg yang melibatkan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki adalah tidak bertanggungjawab dan menghina wartawan yang terlibat.
Na’imah turut menyifatkan dakwaan beliau cuba menggugat atau menjatuhkan kerajaan sebagai ‘melucukan’ dan tidak masuk akal.
“Dakwaan bahawa saya cuba mengganggu kestabilan atau menggulingkan kerajaan adalah sesuatu yang menggelikan hati dan mengingatkan kita kepada tuduhan lalu tentang menggulingkan kerajaan pernah dihadapi oleh Perdana Menteri sendiri, apabila beliau pernah mengisytiharkan mempunyai angka yang besar untuk merampas kuasa.
“Tidak seperti beliau, saya tidak pernah terlibat, mempertimbangkan atau menyokong sebarang usaha untuk menjejaskan kestabilan atau menjatuhkan kerajaan yang dipilih,” katanya dalam kenyataan semalam.
Sebelum ini, Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd. Khalid Ismail berkata, Bukit Aman sedang menyiasat dakwaan cubaan oleh individu berpengaruh untuk menggulingkan kerajaan dan menggugat kestabilan negara.
Na’imah berkata, dia tidak mahu mengambil kredit daripada wartawan yang menggunakan kemahiran serta profesionalisme mereka untuk mendedahkan dakwaan membabitkan Ketua Pesuruhjaya SPRM itu.
Dalam pada itu, beliau terkejut dengan laporan polis difailkan seorang individu yang mendakwanya terbabit dalam usaha menjatuhkan kerajaan.
Katanya, laporan polis itu difailkan oleh seorang individu yang pernah menawarkan khidmatnya sebagai sebahagian daripada pasukan komunikasi pada Julai 2025.
Menurutnya, individu berkenaan kemudiannya ditamatkan perkhidmatan susulan prestasi kerja yang tidak memuaskan, sebelum bertindak membuat tuntutan kewangan lanjut.
“Jelas sekali ini adalah tindakan seorang individu yang tidak berpuas hati,” katanya.-UTUSAN










