Suasana berbuka tepi Sungai Kelantan belum meriah

Suasana berbuka tepi Sungai Kelantan belum meriah

SEBAHAGIAN orang ramai bersama keluarga masing-masing berbuka puasa di Lembah Sireh, Kota Bharu, Kelantan. - UTUSAN/ ROSLIZA MOHAMED
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Tradisi berbuka puasa beramai-ramai di tepi Sungai Kelantan di Lembah Sireh di sini yang saban tahun menjadi tumpuan berlangsung dalam suasana kurang meriah pada awal Ramadan ini.

Tinjauan Utusan Malaysia  semalam mendapati, dianggarkan kira-kira 300 orang berbuka puasa di situ berbanding 1,000 pengunjung memenuhi kawasan berbuka untuk berbuka puasa setiap hari sebelum ini.

Pengunjung yang memilih kawasan tebing sungai  itu didapati tiba seawal pukul 5 petang dengan menghampar tikar dan menyusun juadah yang dibawa sendiri atau dibeli dari bazar Ramadan berhampiran.

Seorang pengunjung, Hakimi Rafiq, 23, berkata, suasana dijangka kembali meriah ketika memasuki minggu terakhir Ramadan apabila anak-anak Kelantan di perantauan pulang ke kampung untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri.

Katanya, kawasan berkenaan dijangka menjadi sesak dengan masing-masing mengambil kesempatan untuk berbuka puasa.

“Awal Ramadan kawasan ini agak lengang, namun masuk sahaja minggu akhir, ia kembali meriah,” katanya.

Seorang pengunjung dari Besut, Terengganu, Ain Ashari, 16, berkata, dia dan keluarganya bertolak seawal pukul 3 petang kerana mahu merasai pengalaman berbuka puasa di lokasi ikonik tersebut.

“Sebelum ini saya hanya melihat suasananya dalam media sosial yang dimuat naik oleh orang ramai. Jadi kali ini kami mahu merasai sendiri pengalaman berbuka puasa di Lembah Sireh,” katanya.

Bagi pekerja swasta, Atirah Mohamad, 22, dari Kuala Krai, walaupun kehadiran tidak terlalu ramai, suasana santai dan berangin di tepi sungai tetap memberi kelainan.

Katanya, dia sudah lama memasang hasrat  berbuka puasa beramai-ramai di kawasan tersebut.

“Walaupun pengunjung tidak ramai dan suasana kurang sesak, ia tetap meriah serta tenang. Insya-Allah, jika ada kelapangan saya datang lagi,” katanya.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×