KUALA LUMPUR: Persatuan Badminton Malaysia (BAM) mencapai majoriti ahli majlis untuk mencalonkan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz sebagai Presiden badan induk itu bagi penggal 2025-2029.
Pemangku Presiden BAM Datuk V. Subramaniam berkata, keputusan itu dibuat selepas perbincangan mendalam bersama ahli majlis bagi memastikan kepimpinan BAM diterajui individu yang berpengalaman luas serta mampu membawa hala tuju lebih cemerlang buat badminton negara.
“Kami mahu seorang presiden yang memiliki pengalaman luas dan dikenali dalam negara seperti Malaysia, baik dalam bidang korporat mahupun pentadbiran. Beliau juga mempunyai latar belakang kepimpinan yang kukuh dan ini penting untuk kesinambungan kejayaan BAM.
“Seperti yang selalu ditekankan oleh Tan Sri Mohamad Norza Zakaria (bekas presiden BAM), kepentingan individu tidak boleh mengatasi kepentingan BAM sebagai sebuah institusi sukan utama negara.
“Maka, saya bersama majoriti ahli majlis melihat Tengku Zafrul sebagai calon terbaik untuk meneruskan legasi kepimpinan BAM,” kata Subramanian pada sidang akhbar Mesyuarat Exco BAM di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara, semalam.
Sebelum ini, Tengku Zafrul hampir dilantik menggantikan Norza, namun atas permintaan Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, Norza kekal hingga Sukan Olimpik Paris 2024
Selepas temasya empat tahun sekali itu, BAM melantik Subramaniam sebagai Pemangku Presiden sehingga AGM berlangsung pada Mei ini.
Dalam pada itu, Subramaniam turut mengesahkan bahawa Tengku Zafrul telah dimaklumkan mengenai keputusan ini dan beliau telah bersetuju untuk menerima pencalonan tersebut bagi menerajui BAM selepas pemilihan berlangsung pada 10 Mei ini.
“Tiada pencalonan khusus. Kita akan lakukan pada hari Mesyuarat Agung Tahunan (AGM). Kalau ada nama lain, saya tidak tahu.
“Tetapi majoriti ahli majlis sudah berbincang, malah sehingga semalam (kelmarin) pun, dan mereka semua bersetuju sebulat suara. Jadi, tiada isu,” tambahnya. – UTUSAN










