PETALING JAYA: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mempersoalkan tindakan kerajaan yang mahu mendapatkan persetujuan daripada parti-parti politik untuk menggubal RUU Pendanaan Politik.
Exco Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada), Na’im Brundage berkata, tindakan itu dilihat janggal kerana kerajaan sebelum ini bebas membuat keputusan yang jelas memberi impak kepada puluhan juta rakyat negara ini.
Beliau berkata, cadangan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman untuk mendapatkan sokongan bertulis daripada kesemua 72 parti politik yang berdaftar adalah helah untuk melengah-lengahkan proses reformasi institusi yang dijanjikan oleh Kerajaan Madani.
“Jika kerajaan sebelum ini boleh membuat keputusan-keputusan yang telah memberi impak negatif kepada puluhan juta rakyat Malaysia tanpa konsultasi atau rundingan umum, kenapa sekarang mereka perlu mendapatkan persetujuan dari parti-parti politik untuk menggubal RUU ini?
“Konsultasi dan rundingan ini bagus, tapi seeloknya dibuat juga sebelum kerajaan memperkenalkan dasar-dasar yang membebankan rakyat seperti penarikan subsidi diesel, pengenalan cukai-cukai baharu dan menghapuskan skim pencen,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Beliau mengulas kenyataan Azalina yang meminta semua 72 parti politik memberikan jawapan bertulis sama ada bersetuju atau tidak terhadap cadangan dalam RUU tersebut.
Katanya, jawapan bertulis itu wajib ditandatangani oleh presiden dan setiausaha agung sebagai pendirian rasmi terhadap penggubalan RUU berkenaan.
Na’im berkata, pelaksanaan RUU itu sangat penting dan tidak wajar ditangguhkan bagi mengembalikan keyakinan rakyat kepada sistem politik di negara ini.
“RUU ini sangat penting, tidak patut dilengahkan lagi kerana ia boleh mengembalikan keyakinan rakyat kepada sistem politik negara.
“Rakyat berhak tahu daripada mana sumber kewangan parti-parti dan ahli-ahli politik negara. Saya memberi sokongan penuh kepada kerajaan untuk menggubal RUU Pendanaan Politik ini,” katanya. – UTUSAN










