GEORGE TOWN: Penolong Ketua Jurulatih Penang FC, Mat Saiful Mohamad akan diberi tanggungjawab mengemudi pasukan itu buat sementara waktu sehingga ketua jurulatih baharu diumumkan.
Pengurusan Penang FC dalam satu kenyataan memberitahu, Mat Saiful akan dibantu oleh Pengarah Teknikal kelab, Merzagua Abderrazak.
“Sehubungan itu, Lembaga Pengarah (Penang FC) mengharapkan bahawa para pemain akan memberikan sokongan yang penuh kepada Coach Mat Saiful Mohamad dan Merzagua Abderrazak,” katanya.
Terdahulu, Mat Saiful telah diberi peranan untuk menggalas peranan tersebut menggantikan Akmal Rizal Ahmad Rakhli ketika Penang FC melayan kunjungan Sabah dalam aksi Liga Super pada 25 Oktober lalu.
Sementara itu, pihak pengurusan Penang FC memaklumkan, mereka menghargai usaha dan dedikasi yang ditunjukkan oleh Akmal Rizal sepanjang membimbing pasukan itu secara rasmi sejak awal tahun ini.
“Memandangkan beliau (Akmal Rizal) masih mempunyai kontrak bersama dengan Penang FC, maka, beliau akan dikekalkan bagi meneraju pasukan lain di bawah Penang FC.
“Ketika ini, terdapat beberapa orang calon jurulatih utama yang telah dikenal pasti oleh pihak Lembaga Pengarah dan perbincangan bagi memuktamadkan kontrak telahpun bermula sejak 21 Oktober 2024.
“Dalam hal ini, ketua jurulatih yang baharu akan diumumkan sejurus selepas perkara dalam kontrak dimuktamadkan tidak lama lagi,” katanya.
Penang FC dalam mesyuarat tergemparnya pada 21 Oktober lalu membuat keputusan untuk ‘merehatkan’ Akmal Rizal daripada menerajui pasukan itu buat sementara waktu susulan prestasi kelab yang agak mengecewakan musim ini. – UTUSAN










