Menteri Kabinet, pemimpin politik ucap takziah pemergian Siti Hasmah

Menteri Kabinet, pemimpin politik ucap takziah pemergian Siti Hasmah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Menteri-menteri Kabinet hari ini menzahirkan ucapan takziah berhubung pemergian Allahyarhamah, Tun Dr. Siti Hasmah Mohd. Ali, pagi tadi.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, arwah menjadi teladan kepada generasi wanita melalui ketabahan, kesederhanaan dan pengabdiannya kepada keluarga, masyarakat dan negara.

Beliau berkata, Dr. Siti Hasmah adalah lambang kekuatan seorang wanita yang dalam kesederhanaannya ada keteguhan dan dalam kelembutannya ada kekuatan.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Jasa dan teladan Allahyarhamah akan terus dikenang dan menjadi inspirasi kepada generasi akan datang.

“Di sebalik kejayaan seorang lelaki, ada seorang isteri yang mempercayainya, setia berdiri di sisinya dan menjadi sumber kekuatan sepanjang perjalanannya.

“Ungkapan ini amat tepat bagi menggambarkan sosok Allahyarhamah, seorang isteri dan pendamping yang teguh berdiri bersama Tun Dr. Mahathir Mohamad dalam mengharungi perjalanan kehidupan dan khidmat kepada negara,” katanya.

Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek pula menyifatkan negara kehilangan seorang sosok wanita yang menjadi inspirasi kepada ramai wanita di negara ini.

Katanya, jasa Allahyarhamah dalam bidang kesihatan dan kebajikan masyarakat akan terus dikenang.

Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong berkata, Dr. Siti Hasmah adalah seorang individu yang telah mendedikasikan sebahagian besar hidupnya untuk berbakti kepada negara.

“Selain sumbangan besar beliau sebagai seorang doktor dan tokoh negara, beliau turut dikenang dengan sifat keperibadiannya yang lemah lembut, berhemah, rendah hati serta memiliki ketabahan yang dikagumi.

“Jasa dan pengorbanan Tun Dr. Siti Hasmah juga dirasai ramai rakyat Malaysia dan beliau akan sentiasa dikenang dengan penuh rasa hormat dan kasih sayang oleh kita semua,” katanya.

Siti Hasmah meninggal dunia di Institut Jantung Negara (IJN) Kuala Lumpur pada pukul 9.20 pagi tadi.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×