PETALING JAYA: Penyerang Kedah Darul Aman (KDA) FC, Syafiq Ahmad bersedia untuk bersaing secara sihat bersama rakan sepasukannya bagi merebut tempat dalam kesebelasan utama skuad Harimau Malaya menjelang aksi Pestabola Merdeka 2024.
Pemain berusia 29 tahun itu mengakui berasa teruja apabila namanya kembali dipanggil menyertai kem latihan pasukan kebangsaan selepas terpaksa digugurkan ketika kempen kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 pada Mei lalu kerana kecederaan.
Syafiq berkata, dia sedia bersaing dengan beberapa pemain lain di posisi serangan seperti Darren Lok, Safawi Rasid, Arif Aiman, Akhyar Rashid dan dua pemain naturalisasi, Romel Morales serta Paulo Jouse.
“Pertama sekali syukur alhamdulillah sebab saya dapat panggilan untuk kem latihan kali ini. Saya berasa amat gembira dan cuba buat yang terbaik bersama rakan-rakan.
“Bagi saya persaingan yang baik untuk kita tingkatkan lagi kualiti pasukan Malaysia. Sesiapa pun yang berada di posisi masing-masing perlu buktikan yang kita layak untuk berada dalam kem (Harimau Malaya),” katanya ketika ditemui pemberita pada sesi latihan di Wisma FAM semalam.
Malaysia kini dibawah kendalian jurulatih baharu Pau Marti Vicente melakukan persiapan bagi menghadapi Filipina dalam Pestabola Merdeka 2024 di Stadium Nasional Bukit Jalil, 4 September ini.
Dalam pada itu, Syafiq turut memasang impian untuk meledak seberapa banyak gol bersama Harimau Malaya namun paling penting adalah membantu pasukan mencipta kemenangan.
“Misi peribadi saya sebagai penyerang sudah tentu mahu menjaringkan seberapa banyak gol yang boleh namun apa yang penting adalah saya dapat membantu pasukan asalkan pasukan menang dalam setiap perlawanan,” katanya lagi.
Berdasarkan rekod pada aksi liga musim ini, Syafiq sudah menjaringkan dua gol ketika menentang PDRM pada 11 Mei dan bertemu Kelantan Darul Naim (KDN) FC pada 12 Julai.-UTUSAN










