PETALING JAYA: Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Liga Bolasepak Malaysia (MFL), Giorgio Pompili Rossi mencabar semua kelab untuk menamatkan penguasaan Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam saingan Liga Malaysia (Liga M).
Rossi percaya saham dan mutu Liga M akan melonjak naik sekiranya kelab-kelab lain berlumba-lumba untuk memberi tentangan saingan kepada pasukan yang dimiliki Pemangku Sultan Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim itu.
“JDT adalah juara untuk banyak tahun. Mereka pasukan terurus malah fasiliti juga dinaiktaraf. Saya percaya dan berharap kelab lain cuba untuk bersaing dengan JDT sebab kalau ini berlaku tahap liga akan naik.
“Daripada mencipta konflik antara kelab, saya tengok daripada sudut berlainan. Pada penghujungnya, JDT adalah juara buat masa ini. Cabaran buat kelab lain,” katanya kepada pemberita, semalam.
Dalam pada itu, Rossi, turut berharap JDT yang merupakan wakil tunggal negara dapat melangkah lebih jauh dalam saingan Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) 2024-2025 yang bakal bermula pada 18 September ini.
“JDT pasukan yang bagus dan kuat. Jujur saya katakan saya berharap JDT boleh pergi sejauh yang mungkin dalam kejohanan ACLE sebab secara tidak langsung ia membawa bendera Malaysia keluar dari negara ini.
“Jika kita boleh pergi jauh, ia bagus untuk bola sepak Malaysia dan saya berharap mereka dapat memberi aksi terbaik,” katanya.
Untuk rekod, JDT mendominasi saingan Liga M sejak beberapa tahun lalu yang mana Harimau Selatan berjaya mempertahankan kejuaraan Liga Super selama 10 musim berturut-turut sejak 2014.
Harimau Selatan turut memenangi gelaran Piala Malaysia dan Piala FA empat kali selain sembilan kali menjulang trofi Piala Sumbangsih.
JDT yang kini memimpin saingan Liga Super 2024/25 akan membuka tirai ACLE menentang kelab China, Shanghai Port FC di gelanggang lawan pada Rabu ini.-UTUSAN










