PETALING JAYA: Ketua jurulatih kebangsaan, John Beasley berhasrat mahu melihat Datuk Azizulhasni Awang membabitkan diri dalam pengurusan sukan dalam usaha membantu meningkatkan mutu sukan negara pada masa kelak.
Menurutnya, sudah tiba masanya pelumba berusia 36 tahun itu beralih ke fasa seterusnya dalam karier sepanjang menjadi pelumba berbasikal trek negara.
“Inilah masanya, dia akan bersara daripada skuad kebangsaan. Beliau sudah menabur bakti selama 17 tahun untuk negara.
“Beliau telah melalui kerjaya yang panjang dan cemerlang dan meraih pingat pertama di Kejohanan Dunia pada 2009. Saya berfikir ini adalah masa yang terbaik untuk beralih ke fasa seterusnya dalam kehidupannya.
“Dia hanya mahu berlumba untuk berseronok selama dua tahun akan datang dalam keirin sahaja, mungkin di Jepun atau tempat lain,” kata Beasley.
Sebelum Sukan Olimpik Paris 2024 bermula, Azizulhasni yang diberi julukan The Pocket Rocketman mengumumkan beliau akan bersara sebaik tamat temasya berprestij itu.
Sementara itu, Beasley mendedahkan Azizulhasni masih ada berbaki dua tahun akan datang untuk merancang bagaimana kehidupannya akan berjalan.
“Pendapat saya, nilainya terletak dalam pengurusan sukan. Menguruskan sukan berprestasi tinggi di Malaysia adalah sesuatu yang baik namun itu hanya matlamat peribadi saya untuknya.
“Dia boleh membuat perubahan yang besar dalam bidang sukan di Malaysia tetapi harus mahu melakukannya. Dia perlu bangun setiap hari dengan semangat yang kuat untuk membuat perubahan, semangat untuk melatih,” jelasnya.-UTUSAN










