PETALING JAYA: Pelumba berbasikal trek negara, Shah Firdaus Sahrom menggesa rakyat Malaysia supaya berhenti mengecam atlet Jepun, Shinji Nakano.
Shah Firdaus berkata, tindakan terbabit menyerang laman sosial pelumba berbasikal trek Jepun itu boleh menjejaskan hubungan baik yang dibinanya selama ini.
“Tiga hari lalu, dia (Nakano) mesej saya, beliau kena serang di laman sosial miliknya. Saya tidak tahu mengenainya dan apabila saya melihat laman sosialnya sudah berpuluh ribu komen.
“Saya harap rakyat Malaysia berhenti perbuatan ini kerana ini menjejaskan kami juga. Nakano menganggap orang Malaysia adalah yang baik-baik sahaja,” katanya.
Shah Firdaus mendedahkan beliau berjumpa dengan Nakano selepas tamat perlumbaan dan pelumba Jepun itu mengalami patah bahu dan memohon maaf atas pelanggaran yang berlaku.
Menurut Shah Firdaus, Nakano tidak berniat mahu melanggarnya ketika di selekoh terakhir namun disebabkan daya ‘G-force’ melihat seakan-akan beliau dilanggar.
“Perkara itu memang berlaku dan ada ‘body contact’. Bagi saya itu perkara biasa dalam keirin. Dia (Nakano) tidak berniat nak langgar saya tapi itu disebabkan ‘G-force’.
“Bila ada ‘body contact’, ‘G-force’ nampak seperti dia naik namun dalam keirin perkara itu biasa, tinggal jatuh atau tidak sahaja,” jelasnya.
Terdahulu, tular di laman sosial Tiktok yang mengatakan Nakano membuat hantaran permohonan maaf namun didapati akaun terbabit adalah palsu.-UTUSAN










