Rexy tidak mahu pelapis cepat ‘layu’

Rexy tidak mahu pelapis cepat ‘layu’

AARON-Khai Xing yang berusia 19 tahun akan bertemu beregu No. 24 dunia, Daniel Lundgaard-Mads Vestergaard dari Denmark.-IHSAN BAM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pengarah kejurulatihan Akademi Badminton Malaysia (ABM), Rexy Mainaky tidak mahu peminat memberi tekanan yang tinggi kepada skuad pelapis badminton negara.

Ketika ini kem badminton negara berdepan cabaran untuk mengetengahkan muka-muka baharu selepas pemain badan induk itu memilih untuk bergerak secara profesional.

Terbaharu, gandingan yang masih segar dengan kejuaraan Terbuka Jepun, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani juga memilih untuk keluar daripada BAM yang berkuat kuasa September ini.

Rexy berkata, beliau enggan meletakkan tekanan dan menaruh harapan sebaliknya hanya memberi masa kepada pemain pelapis untuk memenuhi potensi diri mereka sendiri.

“Saya berharap orang ramai terutamanya peminat sukan badminton supaya memberi masa kepada pemain-pemain muda ini. Jangan terlalu beri tekanan dan pujian yang melampau.

“Saya tidak mahu mereka melalui perkara yang sama seperti Koo Kien Keat-Tan Boon Heong ketika mereka sedang gah di atas dan kemudian merudum dengan pantas,” kata Rexy.

Kien Keat-Boon Heong merupakan bekas beregu lelaki negara yang menghuni ranking No.1 dunia dan pada akhirnya bergelut dengan prestasi selepas dihujani tekanan dan sanjungan.

Sementara itu, Rexy enggan meletakkan tekanan kepada beregu muda lelaki negara, Aaron Tai-Kang Khai Xing biarpun dihantar untuk bertanding di kejohanan lebih besar.

“Pertama sekali saya mahu memahami mentaliti pemain muda kita terlebih dahulu. Jika anda semua ingat, Kien Kiet berusia 19 tahun manakala Boon Heong 19 tahun diberi pujian melangit.

“Selepas itu prestasi menjadi tidak konsisten. Saya tidak mahu Aaron-Khai Xing menjadi seperti itu, berdepan dengan tekanan,” jelas Rexy mengenai pasangan berusia 18 tahun itu.

Untuk rekod, Aaron-Khai Xing ketika ini berada di kedudukan ranking ke 76 dunia dan berpotensi untuk memperbaiki kedudukan sekiranya lebih kerap dihantar ke kejohanan utama.

Pada bulan lalu, pasangan muda negara itu muncul naib juara Kejohanan Badminton Remaja Asia apabila tewas 13-21, 11-21 kepada pasangan China Hu Ke Yuan-Lin Xiang Yi.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN