PETALING JAYA: Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dan pemain perseorangan lelaki negara, Ng Tze Yong mencapai persetujuan bersama untuk menamatkan kerjasama berkuat kuasa 30 Jun ini bagi memberi ruang kepada pemain itu meneruskan fasa baharu dalam karier profesionalnya.
Keputusan tersebut dibuat selepas kedua-dua pihak mengadakan perbincangan dan bersetuju bahawa langkah itu merupakan jalan terbaik buat Tze Yong yang kini memberi fokus sepenuhnya terhadap proses pemulihan sebelum kembali bersaing di pentas antarabangsa.
Sepanjang bersama BAM, pemain berusia 26 tahun itu pernah melonjak ke ranking ke-14 dunia pada November 2023 selain menghadiahkan pingat perak perseorangan lelaki dan emas berpasukan campuran pada Sukan Komanwel 2022 serta membantu Malaysia muncul juara Kejohanan Badminton Berpasukan Asia 2022.
Bagaimanapun, perkembangan kariernya terbantut apabila dibelenggu kecederaan belakang pada 2024 sebelum mengalami kecederaan ligamen anterior cruciate (ACL) pada tahun lalu yang memerlukan pembedahan serta tempoh pemulihan panjang.
Presiden BAM, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz menyifatkan Tze Yong sebagai antara tonggak penting skuad kebangsaan yang sentiasa mengharumkan nama Malaysia di pentas antarabangsa.
“Tze Yong merupakan anggota penting pasukan kebangsaan dan sentiasa mewakili Malaysia dengan penuh kebanggaan di pentas antarabangsa.
“Namun kecederaan yang dialami sejak beberapa tahun kebelakangan ini telah menjejaskan perkembangannya walaupun beliau mempamerkan ketabahan luar biasa sepanjang proses pemulihan.
“Selepas mengadakan perbincangan yang mendalam, kedua-dua pihak bersetuju bahawa ini adalah laluan terbaik pada tahap kariernya ketika ini dan bagi pihak BAM,” kata Zafrul dalam kenyataan BAM, semalam.
Sementara itu, Tze Yong merakamkan penghargaan kepada BAM, barisan jurulatih, pegawai sokongan dan rakan sepasukan yang sentiasa berdiri di belakangnya sepanjang bergelar pemain kebangsaan.
“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada BAM atas segala peluang, bimbingan dan sokongan yang diberikan selama ini kerana dapat mewakili Malaysia sentiasa menjadi satu penghormatan buat saya dan saya amat menghargai setiap individu yang menjadi sebahagian daripada perjalanan karier saya.
“Keutamaan saya sekarang adalah pulih sepenuhnya dan mendapatkan semula tahap kecergasan sebelum berehat seketika daripada pertandingan bagi memberi tumpuan kepada proses rehabilitasi dan saya menantikan lembaran baharu dalam karier selepas kembali ke gelanggang nanti,” katanya. – UTUSAN










