Pintu BAM sentiasa terbuka buat Tze Yong - Jonassen

Pintu BAM sentiasa terbuka buat Tze Yong – Jonassen

Pintu Persatuan Badminton Malaysia (BAM) sentiasa terbuka buat Ng Tze Yong sekiranya pemain itu kembali mencapai tahap terbaik selepas menamatkan kerjasama dengan badan induk tersebut pada 30 Jun ini. - UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pengarah Kejurulatihan Perseorangan Negara, Kenneth Jonassen berkata, pintu Persatuan Badminton Malaysia (BAM) sentiasa terbuka buat Ng Tze Yong sekiranya pemain itu kembali mencapai tahap terbaik selepas menamatkan kerjasama dengan badan induk tersebut pada 30 Jun ini.

Jonassen berkata, keputusan berpisah itu bukan dibuat secara tergesa-gesa, sebaliknya lahir daripada proses perbincangan yang panjang, telus dan dipenuhi rasa saling menghormati antara kedua-dua pihak.

Beliau mengakui pemergian Tze Yong merupakan kehilangan besar buat skuad perseorangan lelaki memandangkan pemain berusia 26 tahun itu memiliki bakat semula jadi yang cukup istimewa dan pernah menjadi antara pemain paling dinantikannya sebaik menyertai BAM pada 2024.

“Kami telah melalui beberapa siri perbincangan dan ia merupakan satu proses yang sangat baik dengan penuh kejujuran serta pertimbangan yang mendalam sebelum keputusan ini dibuat.

“Secara peribadi memang sukar untuk kehilangan pemain yang memiliki kualiti dan potensi besar seperti Tze Yong kerana ketika saya datang ke sini pada 2024, dialah antara pemain yang paling saya nantikan untuk dibimbing, namun kecederaan telah mengubah segala-galanya,” kata Jonassen di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara, semalam.

Menurut Jonassen, beliau tetap percaya Tze Yong masih mampu menghidupkan semula kariernya sekiranya berjaya memulihkan keadaan fizikal serta menemui semula semangat untuk bersaing di peringkat tertinggi.

“Jika dia berjaya mendapatkan semula tahap kecergasan dan keadaan fizikalnya, saya benar-benar percaya masa depannya masih sangat cerah kerana semua itu bergantung kepada keinginan dan kekuatan yang datang daripada dirinya sendiri.

“Perseorangan lelaki di peringkat tertinggi sangat mencabar, memerlukan tahap kecergasan luar biasa dan jika dia sanggup terus mencari had keupayaannya sendiri, saya percaya dia masih mampu mencapai potensi sebenar,” katanya.

Jurulatih dari Denmark itu turut menjelaskan pemergian Tze Yong tidak banyak mengubah perancangannya kerana pemain tersebut sebelum ini masih menjalani proses pemulihan akibat kecederaan belakang dan ligamen anterior cruciate (ACL).

Bagaimanapun, Jonassen menegaskan beliau sentiasa mengamalkan dasar pintu terbuka kepada semua pemain termasuk Tze Yong sekiranya bekas perseorangan No.1 negara itu bersedia kembali menyarung jersi kebangsaan pada masa depan.

“Saya sentiasa mengamalkan dasar pintu terbuka dan jika suatu hari nanti dia kembali berada pada tahap terbaiknya, dia tahu dia sentiasa dialu-alukan di sini. Katakan sahaja saya sentiasa mengamalkan dasar pintu terbuka,” katanya.

Kelmarin, BAM mengesahkan Tze Yong bakal meninggalkan skuad kebangsaan berkuat kuasa 30 Jun ini selepas kedua-dua pihak mencapai persetujuan bersama, sekali gus menutup perjalanan pemain berusia 26 tahun itu bersama badan induk yang pernah menyaksikannya melonjak sehingga ranking ke-14 dunia sebelum dibelenggu kecederaan lutut sejak Malaysia Masters 2025. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN