PETALING JAYA : Ratu terjun negara, Nur Dhabitah Sabri mara ke final dalam acara 3 meter (m) papan anjal selepas menduduki tempat kelapan daripada 18 penerjun dalam aksi separuh akhir, semalam.
Dalam aksi di Pusat Akuatik Paris, atlet berusia 25 tahun itu mengumpul 286.95 mata menerusi terjunan konsisten bagi mengesahkan tempat ke final yang berlangsung pukul 9 malam ini.
Nur Dhabitah meraih 67.50 mata di terjunan pertama sebelum melakukan 55.50 mata di terjunan kedua dan 46.50 mata di terjunan ketiga.
Atlet kelahiran Kuala Lumpur itu kemudian meraih 57 mata pada terjunan keempat sebelum terjunan terakhirnya menjelmakan 60.45 mata bagi menghasilkan jumlah keseluruhan 286.95 mata.
Kejayaan mara ke final itu juga membuktikan Dhabitah masih mampu mempamerkan aksi terbaik biarpun beraksi di Sukan Olimpik paris 2024 menerusi lebihan kuota yang tidak digunakan atlet negara lain.
Olimpik Paris merupakan penampilan ketiga Dhabitah ditemasya terbesar dunia itu dengan beliau hampir meraih pingat pada edisi di Tokyo 2020 selepas menduduki tempat ketiga pada aksi final.
“Terjunan pertama dan kedua sangat baik tetapi yang ketiga ianya kurang memuaskan. Jurulatih beritahu saya kita perlu bangkit semula, saya rasa ‘down’ untuk seketika tetapi Alhamduillah saya lolos ke final.
“Jurulatih beri saya nasihat, dia mahu saya baiki terjunan semula dan lupakan terjunan ketiga itu untuk maju kehadapan. Sasaran saya memang ke final.
“Macam semua tahu saya dapat kuota yang tidak digunakan dan masa menunggu itu tidak pasti. jadinya latihan saya tidak berapa bagus dan persiapan saya sangat suntuk.
“Saya mahu buktikan biarpun saya beraksi menggunakan kuota tidak digunakan, saya mahu buktikan saya layak berada di pentas olimpik dan saya seorang olimpian,” kata Nur Dhabitah dipetik laporan televisyen tempatan.
Sebelum ini, pengarah teknikal skuad terjun negara, Bryan Nickson Lomas berkata, Nur Dhabitah perlu mengutip lebih 330 mata sekiranya mahu mengintai kedudukan podium di Sukan Olimpik Paris 2024.
“Sukar untuk kita meramalkan tetapi untuk selamat perlu kutip 330 mata ke atas untuk menaiki podium.” kata Bryan mengenai peluang Nur Dhabitah di Sukan Olimpik Paris 2024.- UTUSAN










