ALOR SETAR: Kedah Darul Aman FC (KDA FC) bakal turun ke Stadium Sultan Ibrahim malam esok dengan misi memburu kemenangan bagi mencapai impian untuk beraksi di final Piala FA musim ini.
Ketua Jurulatihnya, Nafuzi Zain mengakui misi itu diakui sangat sukar namun bukanlah mustahil untuk dicapai.
“Sama ada kami capai kemenangan dalam tempoh 90 minit permainan atau penalti, itu tak penting. Yang penting, kami ada misi untuk memburu kemenangan kerana kita sudah tiada pilihan lain untuk layak ke final.
“Memang sangat sukar tetapi tak mustahil. Apabila kita mahu buru kemenangan, sudah tentu kita perlu menjaringkan gol dan untuk mencapai matlamat itu, kami perlu beraksi secara menyerang.
“Walau betapa sukar pun cabaran dihadapi, perkara paling penting untuk dilakukan adalah jangan menyerah kalah. Kami perlu cuba lakukan yang terbaik terlebih dulu dan melakukan segala yang terdaya untuk menewaskan mereka,” katanya.
Ketika ini KDA FC ketinggalan 2-1 secara agregat setelah pemain tengah menyerang JDT, Romel Morales berjaya menyumbat gol ke gawang mereka pada detik-detik terakhir aksi separuh akhir pertama di Stadium Darul Aman, 19 Julai lalu.
Selain ketinggalan secara agregat, KDA FC juga berdepan satu lagi cabaran apabila dua tonggak mereka, Mohd. Rizal Ghazali dan Shukrob Nuruloev tidak dapat beraksi akibat kecederaan manakala Syafiq Ahmad turut tidak dapat diturunkan berikutan statusnya selaku pemain pinjaman dari JDT.
Mengulas kekurangan itu, Nafuzi mengakui keadaan itu sedikit sebanyak menjejaskan persiapan pasukan.
“Nurulloev sentiasa memainkan peranan penting ketika menyerang dan ketiadaannya dalam keadaan kami berdepan misi mencari gol seperti ini, sudah tentu dirasai.
“Keadaan ini memberi sedikit kesan tetapi saya tetap yakin dengan kemampuan pemain lain untuk menggalas tanggungjawab ditinggalkan Nurulloev dan Rizal,” katanya.
Habis.










