Jijoe percaya Shah Firdaus mampu teruskan legasi

Jijoe percaya Shah Firdaus mampu teruskan legasi

AZIZULHASNI Awang ketika bersama Shah Firdaus Sahrom di Sukan Olimpik Paris 2024.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Datuk Azizulhasni Awang percaya Shah Firdaus Sahrom mampu meneruskan legasinya dalam acara berbasikal trek di pentas dunia selepas beliau bersara.

Azizulhasni yang lebih mesra disapa ‘Jijoe’ itu mahu seluruh negara memberi sokongan kepada Shah Firdaus serta atlet muda lain bagi memastikan Malaysia terus mempunyai pelapis.

Beliau yang diberi julukan ‘The Pocket Rocketman’ mahu semua pihak berhenti bercakap mengenainya dan terus menyokong Shah Firdaus untuk meneruskan legasinya kelak.

“Shah Firdaus akan meneruskan legasi saya. Ianya bukan lagi tentang saya. Saya harap peminat akan berhenti bercakap mengenai saya.

“Ianya tentang kita menyokong beliau (Shah Firdaus) dan generasi baru akan datang. Jika mereka perlukan bantuan, saya sentiasa berada disana untuk mereka,” kata Azizulhasni.

Jijoe terpaksa menelan kekecewaan pada penampilan terakhirnya di pentas Olimpik apabila penyertaannya dibatalkan pada pusingan pertama keirin akibat kesalahan mendahului ‘pacer’.

Sementara itu, Shah Firdaus yang mempamerkan semangat juang yang tinggi untuk membutirkan pingat ketiga negara mengakui kecewa kerana gagal membawa pulang pingat.

“Saya nampak kilauan pingat 100 peratus di depan saya. Saya yakin kerana kaki dan fizikal saya berada dalam keadaan yang baik. Pada satu tahap saya merasakan saya boleh menewaskan jaguh dunia di depan saya.

“Bagaimanapun, ini acara keirin. Bukan masanya saya nak salahkan siapa-siapa. Orang yang terakhir pun boleh dapat pingat gangsa. Saya perlukan masa untuk menerima keadaan ini. Sejujurnya ianya sukar,” kata Shah Firdaus.

Lebih malang, Shah Firdaus yang pada awalnya menamatkan perlumbaan ditempat keempat diturunkan kepada keenam sekali gus diklasifikasikan sebagai REL (disingkirkan).-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN