PETALING JAYA: Atlet angkat berat Perlis, Muhammad Hafizuddin Roslin kini berada dalam radar Persekutuan Angkat Berat Malaysia (PABM) untuk diserapkan ke dalam skuad kebangsaan.
Perkara itu diakui Presiden PABM, Datuk Ayub Rahmat selepas atlet berusia 20 tahun itu mempamerkan aksi cemerlang di di Sukan Malaysia (Sukma) 2024 baru-baru ini.
“Jawatankuasa Pemilihan Atlet Kebangsaan akan mengadakan mesyuarat dalam tempoh terdekat untuk menilai setiap atlet dan prestasi yang dipamerkan di Sukma 2024 baru-baru ini.
“Mungkin (Hafizuddin) ditarik menyertai skuad kebangsaan. Itu pandangan saya sahaja. Jumlah angkatan yang dilakukannya menyamai tahap Sukan Komanwel namun saya tidak mempunyai data keseluruhan,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.
Hafizuddin memecahkan ekod kebangsaan sebanyak lapan kali dalam acara angkat berat kategori 81 kilogram (kg) lelaki untuk merangkul pingat emas di temasya dwitahunan itu.
Dalam pada itu, Ayub memberitahu tiada jaminan diberikan kepada atlet yang berjaya mencipta rekod di Sukma 2024 kerana penanda aras yang ditetapkan adalah perlu menghampiri tahap Sukan SEA atau pun Sukan Komanwel.
“Kebanyakkan angkatan yang dilakukan di Sukma 2024 agak tinggi tetapi perlu dilihat jumlah tersebut hampir menyamai atau masih jauh dengan tahap di Sukan SEA atau Sukan Komanwel.
“Kita tidak letak penanda aras terlalu tinggi. Anggaran lima hingga 10 kg (daripada tahap Sukan SEA dan Sukan Komanwel) kita akan menilai dan beri latihan kepada atlet,” katanya lagi.
Selain Hafizuddin, atlet angkat berat Terengganu, Siti Aqilah Farhana Draman turut memecahkan dua rekod kebangsaan kategori lebih 76 kg wanita untuk meraih emas di Sukma 2024.- UTUSAN










