PETALING JAYA: Pengendali Harimau Malaya, Kim Pan Gon memilih untuk mengunci mulut daripada mendedahkan sebab utama secara lebih lanjut, kenapa dirinya terpaksa melepaskan jawatan berkenaan.
Katanya, keputusan itu diambil atas faktor komitmen peribadi dan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) telah melantik pembantu jurulatih, Pau Marti Vicente sebagai pemangku ketua jurulatih dibantu seorang lagi pembantu jurulatih, E Elavarasan.
Mengulas lanjut peletakkan jawatannya itu, Pan Gon memaklumkan dia sudah mula memikirkan keputusan drastik itu selepas kempen Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 berakhir selepas perlawanan menentang Taiwan, bulan lalu.
“Ketika (dakwaan saya mahu letak jawatan) Mac lepas berita yang dilaporkan adalah palsu. Namun, saya ada nyatakan kepada media bahawa saya mahu terus kekal lebih lama di sini selepas perlawanan bertemu Taiwan.
“Namun, selepas itu barulah saya terfikir mengenai status saya selaku ketua jurulatih dan selepas beberapa kali bertemu dan berbincang dengan Presiden FAM, barulah (Datuk Hamidin Mohd Amin) menerima keputusan saya.
“Alasan saya hanya Presiden FAM yang tahu dan lebih elok untuk saya agar tidak dedahkan kepada umum. Harapan saya agar semua positif dengan keputusan yang diambil,”katanya pada sidang media khas di Wisma FAM, semalam.
Bagaimanapun, dia mengakui mungkin akan menyesal selepas membuat keputusan untuk meletakkan jawatan namun menegaskan perkara ini bukanlah pengakhiran untuk hubungannya bersama bola sepak Malaysia.
Jelas pengendali dari Korea Selatan itu, menjelaskan beliau tidak sesekali bercerai talak tiga dengan bola sepak Malaysia kerana menyifatkan dirinya sudah ‘separuh Malaysia’ dan sangat berbangga menjadi sebahagian daripadanya.
Pan Gon juga akan terus memberi sokongan dan cuba berkongsi idea untuk melihat bola sepak negara terus membangun ke arah yang positif.
“Mungkin apabila saya bangun esok pagi, saya akan menyesal (dengan keputusan ini) tetapi ini adalah perjalanan baharu untuk saya dan juga bola sepak Malaysia. Saya harap semua orang faham dan kekal positif kerana ini bukanlah pengakhirannya.
“Cinta saya tetap di sini kerana saya hanya meninggalkan posisi saya sebagai ketua jurulatih Malaysia. Hubungan saya dengan bola sepak Malaysia tidak akan berakhir dan saya akan terus menyokong bola sepak Malaysia.
“Mungkin saya akan menyumbang dengan acara yang lain. Saya tidak boleh tinggalkan perkara itu kerana saya membina legasi saya di sini. Mungkin saya akan pulang ke Hong Kong dan datang semula ke sini minggu depan sebagai sahabat atau penyokong bola sepak,” jelas Pan Gon.
Tinjauan Utusan Malaysia di media sosial mendapati rata-rata peminat sukan tempatan sedih dengan keputusan Pan Gon dan menganggap Malaysia kehilangan jurulatih terbaik dalam masa 15 tahun.-UTUSAN










