PETALING JAYA: Beregu wanita No. 1 negara, Pearly Tan-M. Thinaah mengesahkan tempat ke suku akhir selepas muncul selaku naib juara Kumpulan A, semalam.
Pearly-Thinaah mengesahkan kemaraan selepas membenam pasangan Indonesia, Apriyani Rahayu-Siti Fadia Silva 21-18, 21-9 dalam perlawanan terakhir peringkat kumpulan.
Gandingan ke-13 dunia itu muncul sebagai beregu wanita kedua Malaysia yang menjejakkan kaki ke peringkat lapan terbaik, selepas Vivian Hoo-Woon Khe Wei berbuat di Rio 2016.
Thinaah ketika ditemu bual selepas perlawanan berkata, dia dan Pearly berasa amat gugup sehingga kerap melakukan kesilapan dalam set pertama.
“Tetapi kami saling membantu antara satu sama lain dan sentiasa menenangkan diri masing-masing memandangkan perlawanan ini kami membawa misi wajib menang,” katanya.
Menurut anak jati Klang, Selangor itu, sukar untuk dia menghuraikan perasaannya ketika ini kerana mara ke suku akhir Sukan Olimpik merupakan satu pencapaian yang besar.
Diundi di dalam kumpulan maut di Sukan Olimpik Paris, ramai yang tidak meletakkan harapan tinggi kepada beregu Malaysia itu untuk melangkah lebih jauh.
Bagaimanapun, Pengarah Kejurulatihan Akademi Badminton Malaysia (ABM), Rexy Mainaky pernah berkata, jika Pearly-Thinaah mampu melepasi halangan getir itu, maka, mereka mampu untuk mara lebih jauh.
Pemenang pingat emas Sukan Komanwel Birmingham 2022 itu sebelum ini mengejutkan bekas juara dunia dari Jepun, Mayu Matsumoto-Wakana Nagahara 18-21, 21-15, 21-16.
Dalam aksi pertama, Pearly-Thinaah tewas di tangan gandingan nombor satu dunia dari China, Chen Qing Chen-Jia Yi Fan 17-21, 20-22.










