PETALING JAYA: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) akan memastikan Harimau Malaya terus ‘mengaum’ di pentas antarabangsa biarpun tanpa khidmat Kim Pan Gon yang melepaskan jawatannya pada Selasa lalu.
Presidennya, Datuk Hamidin Mohd Amin berkata, beliau telah mengaturkan perancangan bersama pemangku ketua jurulatih, Pau Marti Vicente dalam satu pertemuan yang berlangsung di Mallorca, Sepanyol, kelmarin.
Katanya, pertemuan itu sebagai langkah segera bagi membincangkan hala tuju dan perancangan skuad Harimau Malaya selepas keputusan drastik Pan Gon yang mengejutkan banyak pihak pada Selasa lalu.
Hamidin yang merupakan Ketua Kontinjen Malaysia ke Sukan Olimpik Paris 2024 ketika ini berada di Sepanyol bagi memantau skuad berbasikal trek negara yang sedang menjalani latihan di sana sebelum berangkat ke Paris.
“Kebetulan Pau Marti sedang pulang bercuti di Sepanyol dan saya terus menghubungi beliau untuk datang ke Mallorca bagi membincangkan serba sedikit hala tuju pasukan dan perancangannya selepas diumumkan sebagai pemangku ketua jurulatih.
“Biarpun masih terkejut dengan keputusan drastik Pan Gon untuk meninggalkan pasukan, Pau Marti menyatakan bahawa beliau bersedia untuk menggalas tanggungjawab baharu ini dan mempunyai misi untuk terus memperkasakan skuad Harimau Malaya,” katanya.
Menurut Hamidin, beliau akan memberikan sokongan dan perhatian penuh terhadap segala keperluan skuad Harimau Malaya dalam memastikan ranking FIFA terus dapat diperbaiki, selain persiapan bagi menghadapi Pestabola Merdeka dan Piala AFF 2024.
“Terima kasih kepada Pan Gon kerana sepanjang dua setengah tahun beliau bersama kita, ranking Harimau Malaya telah meningkat baik dan Malaysia berjaya layak ke Piala Asia secara merit selepas 43 tahun. Sumbangan besar beliau tidak akan kita lupakan.
“Cuma saya sedikit terkilan kerana beliau sebelum ini dengan penuh komited menyatakan mahu terus mengendalikan skuad Harimau Malaya sehingga tamat kontraknya pada Disember 2025.
“Tapi jurulatih datang dan pergi. Itu hakikat yang perlu kita terima. Jadi kini walaupun Harimau Malaya tanpa Pan Gon, saya tetap mengharapkan agar rakyat Malaysia terus memberikan sokongan padu kepada Pau Marti dan skuad Harimau Malaya bermula dari Pestabola Merdeka 2024 pada September ini,” katanya.-UTUSAN










