PETALING JAYA: Tonggak Harimau Malaya, Faisal Halim antara pemain paling terkesan dengan keputusan Kim Pan Gon yang melepaskan jawatannya selaku pengendali Harimau Malaya berkuat kuasa semalam.
Menerusi perkongsian di laman Story Instagram Faisal, dia akui sedih dengan keputusan itu di mana jurulatih Korea Selatan itu antara individu yang banyak membentuk gaya permainannya.
Faisal atau lebih dikenali dengan panggilan ‘Mickey’ berkata, kali terakhir dia berjumpa Pan Gon ketika berada di hospital dengan pengendali itu memberi kata-kata semangat kepadanya.
“Berita yang sangat menyedihkan saya. Masih ingat dua bulan lepas jurulatih datang ke hospital dan berikan saya sokongan dan kekuatan.
“Jurulatih duduk dekat saya, Faisal saya ingin melihat anda kembali kuat untuk pasukan kebangsaan
“Saya akan memberi sokongan dan yakinkan saya yang saya akan menjadi lebih kuat. Terima kasih untuk segalanya,” tulisnya di laman sosial.
Faisal ketika ini sedang menjalani proses rawatan selepas dia diserang oleh dua individu yang menyimbah asid ke arah badannya pada Mei lalu.
Akibat insiden itu, Faisal mengalami lecuran tahap empat dan terpaksa menjalani empat pembedahan bagi merawat luka di tubuhnya terutama di bahagian tangan kirinya.
Susulan peristiwa malang itu juga, Faisal tidak dapat bermain bola sepak untuk tempoh yang agak panjang termasuk terlepas aksi Liga Super bersama Selangor FC dan juga aksi babitkan skuad Harimau Malaya dalam kempen Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 menentang Kyrgyzstan dan Taiwan bulan lalu.










