KUALA LUMPUR: Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh melahirkan rasa sedihnya di atas keputusan mengejut Ketua Jurulatih Harimau Malaya, Kim Pan Gon yang mengumumkan peletakkan jawatannya selaku pengendali skuad bola sepak kebangsaan, hari ini.
“Saya menerima berita peletakkan jawatan jurulatih kebangsaan, Kim Pan Gon dengan rasa sedih, beliau ada maklumkan kepada saya sebelum pengumuman tersebut dan saya juga ada bertanya sama ada ini keputusan muktamad atau kita boleh rayu untuk beliau buat pertimbangan semula.
“Nampaknya, beliau telah membuat keputusan dan soal merayu atau mempertimbangkan semula itu memang tidak ada,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri sidang media pengumuman tajaan insentif kemenangan Temasya Sukan Olimpik Paris 2024 di sini, hari ini.
Jurulatih berusia 55 tahun berasal dari Korea Selatan itu memberi alasan atas sebab peribadi keputusan tersebut dibuat selepas lebih dua tahun membimbing Harimau Malaya.
Hannah memberitahu, Pan Gon juga ada memaklumkan kepadanya, kini hanya kenangan manis yang tinggal untuk Malaysia.
“Seperti yang beliau maklumkan dalam sidang akhbar, Malaysia sangat istimewa untuk beliau dan beliau juga sedang melihat apa lagi cara yang boleh membantu perkembangan atau pembangunan bola sepak di Malaysia.
“Mungkin bukan sebagai jurulatih skuad kebangsaan atau cara-cara lain itu saya rasa adalah keputusan beliau dalam hari-hari yang akan datang,” ujarnya.
Beliau menjelaskan, daripada sudut pandangan sebagai Menteri Belia dan Sukan, peranan Pan Gon dalam industri bola sepak di Malaysia amat besar selepas kejayaan jurulatih itu mengembalikan keyakinan rakyat negara ini terhadap pasukan Harimau Malaya sejak memgambil alih pada 2022 sehingga sekarang.
“Kita lihat stadium selalu penuh bila Harimau Malaya bermain dan ramai yang bincangkan prestasi dan peningkatan ranking skuad bola sepak kebangsaan.
“Bagi pihak kerajaan kita ucapkan terima kasih kepada Kim Pan Gon dan terima kasih juga kepada keluarga beliau yang telah meminjamkan beliau kepada Malaysia dalam tempoh 2022 sehingga sekarang,” tambahnya.
Mengulas pertanyaan pemberita tentang cara Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengendalikan isu tersebut, Hannah berkata, beliau yakin badan induk bola sepak negara itu turut berasa sedih dengan keputusan Pan Gon dan FAM perlu diberi ruang bagi menyelesaikan isu tersebut secara baik.
“Saya percaya mereka akan berupaya untuk mengendalikan transisi ini dan FAM memiliki jawatankuasa teknikal yang pakar dalam mencari pengganti sesuai, cuma saya berharap Harimau Malaya tidak akan rasa terlalu terganggu dalam proses memperbaiki ranking mereka,” katanya. – UTUSAN










