PETALING JAYA: Spekulasi bekas jurulatih Harimau Malaya, Kim Pan-gon yang dikatakan bakal menyertai Selangor FC terus menjadi bualan hangat peminat bola sepak tempatan.
Nama Pan-gon bukan asing lagi dalam arena bola sepak negara selepas beliau mengemudi skuad kebangsaan dari 2022 hingga 2024.
Pemerhati bola sepak tempatan, Prof Madya Dr. Zulakbal Abd Karim berkata, sekiranya ura-ura Pan-gon ke Selangor FC berlaku ia dijangka mengubah landskap Liga M musim ini.
“Melihat kembali kejayaan dan rekod Kim Pan-gon bersama Harimau Malaya, saya yakin beliau mampu membawa perubahan positif dan menaikkan lagi prestasi Selangor FC.
“Karakter dan gaya kepemimpinannya pasti menarik lebih ramai penyokong Gergasi Merah Kuning ke stadium,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Zulakbal turut mengulas keperluan mendesak Selangor FC mencari jurulatih baharu yang berkaliber, terutamanya dengan bermulanya jendela perpindahan kedua dan Piala Malaysia yang kian hampir.
“Memang penting Selangor dapatkan pengendali yang hebat dengan segera, dan Kim Pan-gon adalah calon tepat untuk mengisi kekosongan itu,” jelasnya.
Bagaimanapun, beliau juga mengakui cabaran yang dihadapi Kim Pan-gon sewaktu menabur bakti di Korea Selatan dengan Ulsan Hyundai, yang akhirnya membawa kepada pemergiannya.
“Liga Korea adalah sangat kompetitif dengan teknologi dan metodologi latihan terkini. Mungkin Kim Pan-gon agak ketinggalan kerana lama berada di luar negara.
“Ini menyebabkan beliau sukar menyesuaikan diri dan berdaya saing di sana,” jelasnya.
Setakat ini, tiada pengesahan rasmi daripada Kim Pan-gon atau pihak pengurusan Selangor FC berhubung spekulasi ini.
Namun, khabar angin yang berterusan menimbulkan harapan peminat bahawa kemunculan semula Kim Pan-gon di pentas Liga M bakal menghidupkan lagi persaingan dan meningkatkan mutu bola sepak tanah air. – UTUSAN










