PETALING JAYA: Spekulasi mengenai calon ketua jurulatih baharu Harimau Malaya hangat diperkatakan dengan bekas ketua jurulatih Vietnam, Park Hang Seo tersenarai sebagai calon terbaik untuk mengisi jawatan tersebut.
Pensyarah Kanan Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, Mohd. Sadek Mustafa berkata, Hang Seo merupakan calon yang relevan dan berpotensi membawa pasukan negara ke tahap yang lebih tinggi.
“Dia memang salah satu pilihan yang boleh kita katakan sebagai calon yang terkait dengan Kim Pan Gon, tetapi adakah pengurusan bola sepak negara sudah bersedia untuk menjadikannya sebagai ketua jurulatih negara?,” katanya.
Dalam masa yang sama, Sadek turut mempersoalkan sama ada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) bersedia memberikan kebebasan sepenuhnya kepada jurulatih kelahiran Korea Selatan itu untuk menguruskan pasukan negara.
“Adakah FAM sanggup memberikan seluas-luasnya kebebasan kepada Hang Seo untuk menguruskan pasukan negara? Itu satu perkara yang perlu diteliti dengan sebaik mungkin. Kerana melihatkan karakter dia, dia adalah lebih keras daripada Pan Gon,” tambahnya.
Beliau juga menegaskan bahawa FAM perlu mempertimbangkan beberapa aspek penting sebelum membuat keputusan akhir, termasuk kesediaan kelab-kelab tempatan untuk melepaskan pemain bagi memenuhi permintaan jurulatih baharu.
“Kelab-kelab bola sepak yang ada di negara ini sanggup atau tidak melepaskan pemain-pemain atas kapasiti tersebut?. Itu menjadi tanda tanya,” katanya.
Selain itu, Sadek turut menyarankan FAM untuk bersikap terbuka dalam mencari calon jurulatih yang berkelayakan.
“Kita perlu bersikap terbuka dan mencari calon-calon yang setara atau lebih baik daripada Pan Gon. Kita nak orang yang dipilih itu membawa pasukan negara kepada yang lebih bagus lagi,” tegasnya.
Dalam pada itu beliau juga menyatakan bahawa FAM perlu bijak dalam membuat keputusan ini dan memastikan bahawa calon yang dipilih mampu membawa pasukan negara ke ranking bawah 100 dunia.
“Kita nak capai lagi 30 anak tangga. Jadi perlulah gerakan yang baik. FAM harus terbuka dan menyelaraskan peningkatan jurulatih-jurulatih yang mereka fikir boleh membawa pasukan negara kepada apa yang mereka kalungkan dalam perjalanan strategi mereka,” ujarnya.
Sebelum ini, Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin juga dilaporkan berkata bahawa Hang Seo pernah menyatakan minat untuk membimbing Harimau Malaya.
Pengendali berusia 66 tahun itu kini bertindak sebagai penasihat kelab Bac Ninh FC di Vietnam dan dia turut dikatakan menjadi buruan pasukan kebangsaan Kemboja.-UTUSAN










