PETALING JAYA: Beregu campuran negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei dijangka mendapat laluan lebih mudah pada suku akhir selepas muncul juara Kumpulan D pada Sukan Olimpik Paris 2024, semalam.
Gandingan negara itu mencipta kejutan apabila menumpaskan beregu No. 2 dunia dari China, Feng Yan Zhe-Huang Dong Ping 17-21, 21-15, 21-16 pada aksi terakhir Kumpulan D dalam masa 1 jam 10 minit.
Selaku juara Kumpulan D, Tang Jie-Ee Wei memiliki kelebihan untuk mengelak daripada bertemu pencabar lebih kuat apabila undian suku akhir dijalankan selepas tamat semua aksi peringkat kumpulan.
Ee Wei ketika ditemu bual selepas perlawanan berkata, dia enggan terlalu memikirkan siapa yang bakal menjadi lawan mereka pada suku akhir nanti.
“Esok (hari ini), hari rehat kami, jadi, kita akan bincang nanti apabila sudah tahu siapa yang akan menanti kami di suku akhir, buat masa ini saya tak mahu fikir apa-apa,” katanya yang dipetik menerusi laporan televisyen tempatan.
Mengulas mengenai peluang mereka untuk melangkah lebih jauh, anak jati Melaka itu memberitahu, pada temasya seperti Sukan Olimpik, apa sahaja boleh berlaku, jadi, semua pemain yang berada di Paris rasakan bebanan yang sama.
“Saya akui beregu China itu sangat kuat, kami cuma fokus kepada perlawanan kami kerana apa yang penting semangat juang ketika beraksi di dalam gelanggang,” ujarnya yang turut berterima kepada rakyat Malaysia yang tidak berhenti memberikan sokongan.
Untuk rekod, pencapaian tertinggi beregu campuran di pentas Olimpik adalah menerusi gandingan Chan Peng Soon-Goh Liu Ying yang meraih perak di Rio 2016.-UTUSAN










