PETALING JAYA: Terengganu bertekad untuk mengungguli acara berpasukan Siri Golf Amatur Nasional Perodua (PNAGS) 2024 yang akan berlangsung di Forest City Golf Resort, Johor pada 8 hingga 10 September ini.
Ketua pasukan Terengganu, Mohd Firdaus Ahmad berkata, keyakian itu berdasarkan barisan berpengalaman Terengganu yang menang pada pusingan kelayakan di Terengganu, yang diadakan di Kelab Golf Bukit Besi (KGBB).
Mohd Firdaus, dengan handicap 4, berjaya mendominasi padang golf Bukit Besi yang mencabar, yang penuh dengan tasik dan bukit dengan skor bersih 73.
Setelah mewakili Malaysia dan muncul juara dalam acara pasukan di Kejohanan Golf Amatur Dunia (WAGC) di Kuala Lumpur pada 2022, beliau mudah mencatat 13 par dan lima bogey untuk menjadi juara dan layak ke peringkat akhir.
Turut menyertai pasukan Terengganu ialah Muhammad Nor Hisham Hussain, yang dengan handicap 10 yang memenangi Kategori B dengan skor bersih 70. Beliau mencatat 9 par, 7 bogey, 1 double-bogey, dan satu birdie di lubang ke-18, par 4.
Ng Kim Yong, pemain kelahiran Terengganu dengan handicap 11 pula memenangi Kategori C dengan skor bersih 68 OCB, mengalahkan 4 pemain teratas lain yang turut mencatat skor yang sama.
Kategori D dimenangi oleh Muhamad Firdaus Abdul Rahman dengan handicap 16 dan skor bersih 68 (ocb), mengatasi empat pemain lain yang turut mencatat skor 68, manakala pemain veteran Azizon Ariffin, 67, dengan handicap 21, memenangi Kategori E dengan skor bersih 68.
Pahang, salah satu negeri Pantai Timur, baru-baru ini menamatkan pusingan kelayakannya di Mahkota Golf & Country Club di Kuantan.
Jack Chew Shong Liang muncul sebagai pemenang tunggal Medal A dengan skor mengagumkan 73 nett, menjamin tempatnya sebagai ketua pasukan Pahang dalam peringkat akhir kebangsaan yang akan datang.
Jack yang asal dari Ipoh, menunjukkan dedikasi dan kemahiran yang luar biasa, mengembara jauh ke Kuantan untuk menyertai acara tersebut.
Menyertai beliau dalam pasukan Pahang ialah Muhd Eddy Ismail (Medal B) bersama beberapa pemain golf berbakat lain yang mempamerkan kebolehan mereka semasa pusingan kelayakan.
“PNAGS adalah satu-satunya kejohanan golf di Malaysia yang menawarkan peluang kepada pemain golf amatur tempatan untuk mempamerkan bakat mereka dan bersaing di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.
“Pemenang pusingan kelayakan negeri berhak mewakili negeri mereka di Peringkat Akhir Kebangsaan PNAGS manakala lima juara kategori kebangsaan akan berpeluang mewakili negara di Kejohanan Golf Amatur Dunia (WAGC) bersama 400 pemain dari 40 negara di seluruh dunia,” kata Pengerusi Penganjur, Lokman Ishak.
Phuket, Thailand, akan menjadi tuan rumah Kejohanan Golf Amatur Dunia (WAGC) Peringkat Akhir Dunia tahun ini, yang dijadualkan berlangsung pada 25 Oktober hingga 2 November ini melibatkan tiga padang golf utama di Phuket, termasuk Laguna Golf Resort, Red Mountain, dan Blue Canyon.
“PERODUA telah menjadi rakan utama dalam kejayaan acara kebangsaan dan antarabangsa sejak 2012, dan kami amat menghargai bimbingan berterusan yang diberikan oleh pengerusinya, Tan Sri Asmat Kamaludin,” tambahnya.
Penaja bersama PNAGS termasuk Spectrum Outdoor, Volvik, VIN Distribution, Skechers Golf, dan Fella Design, Malaysia Aviation Group (Malaysia Airlines, MASwings, dan Firefly), Gatorade, Bleu, Wonda Coffee, Sting, IROAS Watch, Hospitality 360, Jakes Charbroil, Le Botanical, Throatsil, Acti-Tape.-UTUSAN










