Terengganu sebelah kaki ke separuh akhir Piala FA

Terengganu sebelah kaki ke separuh akhir Piala FA

PEMAIN Terengganu FC, Manuel Ott (tengah) dikawal ketat dua pemain Sabah FC pada aksi suku akhir pertama Piala FA di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, kelmarin.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA NERUS: Kemenangan bergaya empat gol tanpa balas ke atas Sabah pada suku akhir pertama Piala FA, semalam, adalah sesuatu di luar jangkaan buat skuad Terengganu FC (TFC).

Apatah lagi kemenangan itu tidak disaksikan ketua jurulatih, Tomislav Steinbruckner, dari tepi padang setelah pengendali berasal Croatia itu terpaksa dikuarantin setelah positif Covid-19.

Penolong jurulatih TFC, Badrul Afzan Razali, berkata, dia diberi tanggungjawab mengetuai cabaran Sang Penyu dengan percaturan di posisi bek kiri dan tengah membuahkan hasil.

Menurut Badrul Afzan, barisan pemain TFC begitu berdisiplin sepanjang 90 minit permainan apabila berjaya mematikan langkah serta gerakan yang cuba dilakukan pasukan lawan.

“Ketua jurulatih menaruh kepercayaan 100 peratus untuk saya melakukan persiapan menghadapi perlawanan ini namun kami tetap saling bertukar pendapat bagi memburu kemenangan.

“Tiada perubahan drastik kecuali Alif Zakaria kembali ke posisi bek kiri untuk mengawal kelincahan Saddil Ramdani dan kepercayaan itu terbalas apabila dia melakukan tugas dengan sempurna.

“Saya juga memberitahu pemain agar tidak cepat hilang kawalan bola selain memberi kebebasan kepada barisan tengah serta serangan untuk bertukar posisi dan semua tampak serba menjadi.

“Tidak jangka (4-0) kerana saya fikir mungkin menang 2-0 tetapi hasil semangat juang semua pemain, kami meraih bekalan selesa untuk dibawa ke aksi timbal balik,” jelasnya.

Kemenangan itu menyaksikan TFC sebelah kaki ke separuh akhir selepas jaringan Manuel Ott minit kelapan, Ismaheel Akinade minit ke-37 dan ke-48 serta Marin Pilj (m-42) memberi kemenangan 4-0 buat Sang Penyu.

Badrul Afzan menjelaskan, keputusan itu tidak mengubah pendekatan TFC menjelang kunjungan ke Stadium Likas, minggu depan, dalam misi menyamai pencapaian separuh akhir pada tahun lalu.

“Tidak semestinya dengan bekalan empat gol ini, kami akan ke tempat lawan untuk bertahan atau seri sebaliknya kemenangan tetap menjadi buruan untuk mengekalkan momentum,” ujarnya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN