COLOGNE: Switzerland dan Scotland terikat 1-1 dalam perlawanan kedua dalam saingan Kumpulan A, Euro 2024, sekali gus berkongsi satu mata dalam aksi di Stadium Rhein Energie sebentar tadi.
Scotland bermula baik apabila membuka jaringan menerusi Scott McTominay, selepas rembatannya terkena kaki pemain Switzerland, Fabian Schar dan menerjah gawang pada minit ke-13.
Tersentak dengan jaringan itu, Switzerland kembali menyamakan kedudukan apabila kesilapan pertahanan Scotland membolehkan Xherdan Shaqiri meledak gol penyamaan pada minit ke-26.
Babak pertama kekal dengan kedudukan 1-1 biarpun kedua-dua pasukan saling berbalas asakan ke itu gawang.
Brsambung babak kedua, benteng Switzerland berjaya menahan asakan bertali arus Scotland, terutama menerusi gerakan Andy Robertson dan McTominay.
Switzerland mempunyai peluang apabila serangan balas pantas menerusi pemain gantian, Breel Embolo yang kemudian menjaringkan gol, namun jaringannya dibatalkan kerana ofsaid.
Switzerland kini menghuni tangga kedua kumpulan pada empat mata, manakala Scotland di tempat ketiga dengan satu mata dan masih berpeluang untuk mara ke pusingan 16 terakhir.
Jerman mendahului Kumpulan A dengan enam mata selepas menewaskan Hungary 2-0, yang berada di tangga tercorot tanpa sebarang mata.
Switzerland akan bertemu Jerman pada perlawanan terakhir awal pagi Isnin manakala Scotland menentang Hungary. – AGENSI










