COLOGNE: Pengurus England, Gareth Southgate diejek serta dilempar gelas plastik oleh penyokong sendiri walaupun The Three Lions muncul juara Kumpulan C dan layak ke pusingan kalah mati Euro 2024.
Penghinaan itu dilakukan penyokong Three Lions selepas berang melihat England sekadar mencatat keputusan seri tanpa jaringan menentang Slovenie pada aksi terakhir Kumpulan C.
Sebelum ini, England menerima kecaman teruk daripada penyokong mereka berikutan gagal mempamerkan peningkatan sepanjang kempen peringkat kumpulan apabila menewaskan Serbia 1-0 sebelum seri 1-1 menentang Denmark.
“Saya faham mereka tidak gembira dengan saya, itu realitinya. Saya tidak berundur. Saya memerlukan sokongan mereka.
“Saya tidak akan melarikan diri daripada mengucapkan terima kasih kepada penyokong yang hadir memberikan sokongan namun saya tahu punca kepada isu ini.
“Saya tidak pernah melihat pasukan lain yang layak dan menerima reaksi hampir sama seperti ini. Saya sangat berbangga dengan pemain kerana cara mereka menanganinya,” kata Southgate.
Walaupun berjaya melepasi peringkat kumpulan namun kemampuan England untuk menamatkan kemarau 58 tahun menjuarai kejohanan utama diragui disebabkan ketumpulan di bahagian jentera serangan.
“Saya fikir kami bermain lebih baik berbanding perlawanan sebelum ini. Kami tidak dapat menterjemahkan peluang kepada gol tetapi kami tidak sabar bagi aksi seterusnya,” kata kapten England, Harry Kane.
Sementara itu, reaksi berbeza ditunjukkan oleh penyokong Slovenia yang gembira melihat kejayaan pasukan mereka turut melepasi peringkat kumpulan selepas menjadi salah satu daripada empat pasukan terbaik di tempat ketiga.
“Saya tidak sangka kami layak ke peringkat kalah mati namun kami membuktikan kami layak selepas menentang salah satu pasukan pilihan kejohanan,” kata jurulatih Slovenia, Matjaz Kek. AGENSI










