KUALA LUMPUR: Keadaan padang di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) kelihatan ‘cantik’ menjelang aksi Harimau Malaya menentang Taiwan dalam perlawanan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027, malam ini.
Biarpun cuaca hujan pada pukul 6.30 petang tadi, dilihat tiada air bertakung di permukaan padang dengan kakitangan Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) melakukan kerja akhir memperbetulkan permukaan padang.
Semalam, pengendali Harimau Malaya Kim Pan Gon mengharapkan padang SNBJ berada dalam keadaan baik pada aksi terakhir Kumpulan D pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 menentang Taiwan.
Pengendali dari Korea Selatan itu, beliau mengharapkan keadaan rumput di SNBJ tidak ‘buat hal’, sekali gus perlawanan berlangsung tanpa sebarang masalah dan Malaysia mampu mencipta kemenangan dengan jaringan yang besar.
Sebelum ini, keadaan padang SNBJ menjadi isu hangat yang sering menjadi perdebatan setiap kali berlangsungnya perlawanan di venue terbabit .-UTUSAN










