BERLIN: Jurulatih Belanda, Ronald Koeman mengkritik pemainnya selepas tewas 2-3 kepada Austria, sekali gus menyebabkan mereka menduduki tempat ketiga dalam Kumpulan D Kejohanan Eropah (Euro) 2024.
Austria muncul juara Kumpulan D mengatasi Perancis selaku naib juara, namun Belanda telah pun layak ke pusingan kalah mati apabila muncul salah satu daripada empat pasukan ketiga terbaik.
Belanda menewaskan Poland pada aksi pembukaan sebelum seri tanpa jaringan bertemu Perancis, namun mereka dikecewakan dengan kekalahan oleh skuad kendalian Ralf Rangnick.
“Perlawanan menentang Perancis agak baik, mengambil kira hasilnya, kami bermain dengan baik sebagai satu pasukan tetapi prestasi hari ini (semalam) amat buruk.
“Orang bermain buruk disebabkan beberapa aspek…kami perlu mengawal lawan dan itu tidak berlaku,” kata Koeman.
Koeman berkata, pasukannya melakukan beberapa kesilapan menentang Austria yang terlebih berada di depan menerusi gol sendiri Donyell Malen.
Cody Gakpo menyamakan kedudukan pada minit ke-47 sebelum Romano Schmid kembali meletakkan Austria di depan pada minit ke-59.
Memphis Depay menyamakan kedudukan pada minit ke-75 sebelum Marcel Sabitzer meledak gol kemenangan pada minit ke-80.
“Saya boleh menyenaraikan beberapa kesilapan. Kami bermula dengan buruk daripada pelbagai aspek. Kami tidak bertahan dengan baik. Banyak ruang diberikan kepada lawan.
“Kami tidak agresif. Kami hilang kawalan bola terutamanya di awal permainan. Kami bermain amat buruk,” kata Koeman. – AGENSI










