PETALING JAYA: Ketumpulan jentera serangan dan kurang keserasian pemain dilihat menjadi punca kepada Harimau Malaya yang hanya mampu mencipta kemenangan tipis 1-0 ke atas Perak FC, semalam.
Pemerhati sukan tempatan, Datuk Dr Pekan Ramli berkata, berdepan pasukan berstatus kelab skuad negara sepatutnya mencipta kemenangan dengan jumlah jaringan yang lebih besar untuk membuktikan kemampuan.
Katanya, beliau bukan mahu memperkecilkan kemampuan Perak FC tetapi melihat kepada kemampuan skuad kendalian Yusri Che Lah itu mempertahankan gawang agar tidak dibolosi dengan banyak membuktikan mereka lebih serasi berbanding pasukan kebangsaan.
“Ini gambaran bahawa keserasian pasukan negara belum mantap malah petunjuk jentera serangan kita juga tidak mantap.
“Bukan mahu merendahkan kemampuan Perak, mereka tidak dibarisi pemain ternama namun persiapan berbulan-bulan untuk menghadapi Liga Super semestinya mencipta keserasian dalam kalangan pemain.
“Berbanding skuad kebangsaan di mana kebersamaan mereka masih baru. Kemenangan 1-0 agak merisaukan untuk berjumpa dengan Kyrgyzstan ,” katanya.
Aksi persahabatan itu diadakan sebagai persiapan pasukan kendalian Kim Pan Gon untuk menghadapi Kyrgyzstan dalam kempen Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 di Stadium Dolen Omurzakov pada 6 Jun ini.
Dalam pada itu, Pekan menolak Harimau Malaya tidak mempamerkan kekuatan sebenar dalam perlawanan tersebut bagi mengelak daripada mengalami sebarang kecederaan.
“Saya tak fikir mereka simpan kuku. Kalau pasukan kebangsaan simpan kuku atau menggunakan hanya separuh kekuatan pasukan bukannya menang 1-0, paling tidak pun 2-0 atau 3-0.
“Banyak kerja rumah yang perlu dibuat terutamanya di jentera serangan dan tengah. Kalau bahagian tengah tidak kukuh ia akan memberi tekanan kepada serangan,” katanya lagi.- UTUSAN










