KOTA BHARU: Pengendali Kelantan Darul Naim FC (KDN FC) Park Jaehong mengingatkan barisan pemainnya supaya tidak gugup berdepan Johor Darul Ta’zim (JDT) pada aksi pusingan 16 Piala FA di Stadium Sultan Ibrahim malam ini
Jaehong berkata, beliau mahu barisan pemain kekal fokus sepanjang perlawanan dan tidak memberikan laluan mudah kepada pihak lawan yang juga merupakan juara bertahan.
Menurutnya, meskipun JDT pasukan terkuat namun KDN FC perlu memberikan tentangan sengit kepada lawan.
“Beraksi ditempat lawan tidak mudah untuk kita kerana lawan serba lengkap disegenap posisi. Bagaimanapun, saya tetap berkeyakinan pemain saya akan memberi saingan sekaligus tidak memberi laluan mudah kepada JDT.
“Paling penting, pemain tidak boleh berputus asa, mesti bekerja keras dan melancarkan serangan yang agresif sebaik mendapat peluang pada perlawanan berkenaan,” katanya.
Menurut Jaehong, barisan pemain KDN FC perlu mengurangkan kesilapan mudah sepanjang perlawanan yang boleh menghukum skuad Kijang Emas.
“Pemain kena yakin mereka ada kualiti. Jangan takut dengan kekuatan pasukan lawan walaupun sedar pemain JDT FC berkuliti tinggi”.
“Beraksi seperti biasa, jangan gugup dan paling utama, manfaatkan segala ruang yang diperoleh serta kurangkan kesilapan mudah yang boleh memberi gol kepada lawan,” ujarnya-UTUSAN










