Harimau Malaya perlu aksi persahabatan berkelas ‘A’

Harimau Malaya perlu aksi persahabatan berkelas ‘A’

SKUAD Harimau Malaya masih mempunyai misi mencari tempat ke pusingan akhir Piala Asia 2027 biarpun sudahpun tersingkir daripada kelayakan Piala Dunia 2026, minggu lalu. – IHSAN FAM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Dengan tempoh masa yang panjang sebelum aksi Kelayakan Piala Asia 2027 berlangsung pada Mac tahun depan, Malaysia perlu mencari perlawanan persahabatan berkelas A dengan menentang pasukan diranking lebih tinggi berbanding Harimau Malaya.

Bekas kapten skuad kebangsaan, Shahrom Kalam berkata, tempoh masa yang ada ini harus dimanfaatkan sebaik mungkin oleh barisan kejurulatihan skuad kebangsaan untuk membuat perancangan, selain mengadakan perlawanan persahabatan berkelas A.

Shahrom berkata, tempoh masa yang panjang itu juga merupakan waktu yang sesuai untuk pengendali Harimau Malaya, Kim Pan Gon dan barisan kejurulatihan melakukan rombakan dalam pasukan dengan mengetengahkan lebih ramai muka-muka baharu yang berpotensi

“Kita ada masa yang agak panjang untuk mengejar slot ke Piala Asia 2027. Jadi ini adalah masa untuk kita lakukan rombakan dengan membawa muka-muka baru masuk ke dalam pasukan

“Pada perlawanan menentang Taiwan sebelum ini, kita tengok pemain seperti Safwan (Mazlan), Adib (Ra’op), Haqimi Azim (Rosli) menunjukkan aksi yang bagus. Jadi inilah masanya untuk kejurulatihan Harimau Malaya membawa pemain baharu dengan tidak lagi mengharapkan muka-muka lama, terutama di bahagian serangan.

“Buat masa sekarang, rombakan barisan pemain perlu dilakukan dahulu kerana kita ada masa lama sebelum kelayakan bermula Mac. Dalam masa sama, kita perlu ada perlawanan berintensiti tinggi dengan menentang pasukan-pasukan besar (ranking lebih tinggi) bagi mengenalpasti kelemahan yang perlu diperbaiki dan kelebihan yang boleh digunakan,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Sebelum ini, Utusan Malaysia melaporkan Pan Gon memiliki tempoh enam bulan untuk menaikkan ranking skuad kebangsaan bagi mengatasi India supaya berada di kedudukan ‘selesa’ kelayakan Piala Asia 2027.

Ketika ini, skuad Harimau Malaya berada di ranking ke-138 dunia dan perlu mengatasi India yang berada di tangga ke-121 dunia iaitu kedudukan paling rendah dalam Balang 1 yang turut dihuni Syria, Tajikistan, Thailand, Vietnam dan Lubnan

Skuad Harimau Malaya perlu berada dalam Balang 1 bagi memudahkan mereka mengharungi perlawanan kelayakan itu memandangkan hanya juara kumpulan saja akan mengesahkan tempat ke Piala Asia yang berlangsung di Arab Saudi.

Ketika ditanya mengenai kedudukan Pan Gon sebagai ketua jurulatih skuad kebangsaan, Shahrom percaya pengendali dari Korea Selatan itu masih menjadi individu tempat untuk menerajui pasukan kebangsaan.

“Saya masih percaya dengan Pan Gon kerana dia membawa satu revolusi baharu dalam bola sepak kebangsaan, mungkin disebabkan beberapa pemain berdepan masalah kecederaan…memaksa dia menukar pendekatan permainan.

“Kalau kita lihat dua perlawanan awal kelayakan, beliau menerapkan pendekatan berbeza dengan melakukan tekanan tinggi dan menyerang namun pada perlawanan menentang Taiwan, dia terpaksa melakukan perkara berbeza,” ujar jurulatih Gombak FC yang beraksi di Liga A1 Semi-Pro itu.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN