Dhabitah raih tiket ke Paris

Dhabitah raih tiket ke Paris

NUR Dhabitah Sabri akan menggalas cabaran negara di Terbuka Malaysia 2024.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Ratu terjun negara, Nur Dhabitah Sabri menerima berita gembira apabila dipilih Persekutuan Renang Malaysia (MAS) untuk beraksi di Sukan Olimpik Paris 2024.

Pemilihan Nur Dhabitah Sabri itu dibuat selepas Akuatik Dunia (WA) memberi slot ‘unused quota’ kepada Malaysia bagi acara 3 meter (m) papan anjal individu wanita di temasya itu.

Keputusan berkenaan menyaksikan Bertrand Rhodict Lises tidak akan keseorangan menjelang temasya empat tahun sekali itu berlangsung bermula hujung bulan ini di bumi Paris.

Pengarah teknikal terjun, Bryan Nickson Lomas berkata, Nur Dhabitah bakal menggalas cabaran terbabit kerana beliau merupakan atlet paling senior bagi acara berkenaan.

“Berdasarkan calon yang kita ada, Nur Dhabitah akan dipilih untuk mengisi slot keemasan yang diberikan kepada WA. Beliau yang pernah beraksi di Tokyo menjadi sandaran kita dalam acara itu.

“Sebelum ini kami ada Wendy Ng Yan Yee, namun beliau sudah mengumumkan persaraannya, sekali gus Dhabitah mendapat slot tambahan ini,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Sebelum ini, dua penerjun itu menjadi sandaran dalam acara 3m papan anjal, namun mereka terlepas peluang untuk layak secara merit apabila terkandas di Kejohanan Akuatik Dunia di Qatar, Februari lalu.

Dalam pada itu, Bryan mendedahkan skuad terjun berkemungkinan akan mendapat satu lagi penambahan slot menerusi acara lelaki dan menjadikan Ooi Tze Liang sebagai pilihannya.

Bagaimanapun katanya, MAS perlu menunggu sehingga 8 Julai ini berkenaan keputusan terbabit susulan WA sedang mengira jumlah atlet yang akan bersaing ke Paris.

“Tze Liang mungkin akan ke Paris jika WA memberi kuota kepada MAS. Prestasi semasa Tze Liang menjadi calon terkuat untuk menggalas cabaran di Paris.

“Bagaimanapun, jika WA tidak memberi khabar sehingga 8 Julai bermakna kami tidak mendapat slot terbabit dan menyaksikan Nur Dhabitah dan Bertrand beraksi di kejohanan terbabit,” katanya.

Bertrand kini berkelana di Melbourne, Australia sehingga 1 Julai untuk meningkatkan darjah kesukarannya dan kemudian akan berlepas ke United Kingdom (UK) untuk kem latihan sehingga Sukan Olimpik Paris membuka tirai saingannya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN