PETALING JAYA: Banyak perkara yang perlu dipertimbangkan sekiranya Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mahu menggunakan pemain warisan seperti yang dicadangkan oleh jurulatih Harimau Malaya, Kim Pan Gon.
Pan Gon memberi cadangan tersebut selepas Indonesia mencipta sejarah apabila menjadi wakil tunggal Asia Tenggara yang layak ke pusingan ketiga Piala Dunia 2026 hasil bantuan pemain warisan.
Bagaimanapun, bekas pemain kebangsaan, Hasnizam Uzir berkata, menggunakan pemain warisan dalam skuad kebangsaan tidak semudah yang disangka kerana FAM perlu berbelanja besar selain perlu membuat pilihan tepat.
“Tiada masalah nak beri tumpuan kepada pemain warisan cuma adakah FAM (Persatuan Bolasepak Malaysia) bersedia untuk mencari pemain warisan itu sendiri tanpa menggunakan ejen supaya dapat yang benar-benar berkualiti.
“Kalau hendak dibandingkan dengan Indonesia, mereka mempunyai populasi penduduk yang lebih ramai berbanding kita jadi sudah tentu mereka mempunyai lebih banyak pilihan berbanding kita.
“Mencari pemain warisan bukan mudah malah FAM tidak boleh tangkap muat,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Hasnizam turut menjelaskan sekiranya penggunaan pemain warisan digunakan secara meluas ia bakal merosakkan ekosistem bola sepak tempatan.
“Apabila pemain warisan terlalu ramai dalam skuad kebangsaan secara tidak langsung ia telah membunuh semangat dan minat anak muda terhadap bola sepak negara.
“Malah, kerajaan juga akan melihat tiada keperluan untuk membantu FAM kerana menggunakan pemain warisan yang boleh dianggap sebagai jalan pintas,” katanya lagi.
Dalam pada itu, Hasnizam turut menegaskan pemain muda tempatan sudah menunjukkan peningkatan daripada segi kualiti dan kreativiti di atas padang, jadi adalah kerugian jika tidak memanfaatkannya dengan baik.
“Kita ada Arif Aiman (Hanapi), Faisal Halim, Haqimi (Azim), Adib (Ra’op) dan beberapa lagi. Jika pemain warisan atau naturalisasi terlalu ramai nanti apabila kita berjaya melakar kejayaan kemanisannya kurang berbanding kita menggunakan pemain tempatan,” katanya.-UTUSAN










