PETALING JAYA: Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail Sultan Ibrahim mengecam insiden yang menimpa dua pemain Harimau Malaya, Faisal Abdul Halim dan Akhyar Rashid.
Menerusi kenyataan rasmi di Facebook rasmi Johor Southern Tigers, pemilik kelab Johor Darul Ta’zim (JDT) itu turut berharap Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyiasat segera kedua-dua kejadian berkenaan.
“Saya mengecam kejadian yang melibatkan pemain bola sepak, Faisal Halim dan Akhyar Rashid susulan keselamatan serta kesejahteraan mereka diganggu oleh individu-individu tidak bertanggungjawab.
“Saya berharap agar Polis Diraja Malaysia segera menyiasat kes-kes tersebut dan mengambil tindakan yang sewajarnya,” kata Tunku Mahkota Ismail.
Pada petang semalam, bintang Selangor FC mengalami kecederaan di bahagian lengan dan badannya selepas disimbah asid oleh individu tidak dikenali.
Faisal dilaporkan diserang ketika berada di sbeuah pusat beli belah terkemuka di Damansara kira-kira pukul 5 petang.
Sementara itu, pada Khamis lalu, pemain kebangsaan yang kini bersama Terengganu FC, Akhyar diserang sebelum disamun di Kuala Terengganu.
Akhyar dikatakan dipukul menggunakan cota di bahagian kepalanya sehingga menyebabkan pemain terbabit menerima enam jahitan.-UTUSAN










