Skuad beregu kena bangkit untuk jadi pencabar Thailand

Skuad beregu kena bangkit untuk jadi pencabar Thailand

GANDINGAN Aidil Aiman Azwawi dan Noraizat Nordin perlu memperkemaskan rentak permainan untuk menjadi pencabar dalam acara beregu di Piala Dunia Sepak Takraw 2024-GAMBAR- AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Skuad beregu negara di Piala Dunia Sepak Takraw 2024 perlu memperkemaskan rentak permainan seandainya mahu melangkah jauh dalam kejohanan itu.

Ketua jurulatih negara, Ahmad Jais Baharun berkata, gandingan Aidil Aiman Azwawi dan Noraizat Nordin menampakkan beberapa kelemahan ketara biarpun mara ke suku akhir.

Beliau berkata, jika dibandingkan dengan Thailand, skuad Gajah Perang itu nampak lebih bersedia berbanding Malaysia dalam acara beregu, namun perkara itu akan diperbaiki segera.

“Ada beberapa aspek yang perlu diberikan perhatian seperti kawalan bola dan servis, gandingan Aidil Aiman dan Noraizat nampak lambat panas dan kemungkinan atas rasa gementar dan sebagainya.

“Keserasian antara mereka boleh ditingkatkan lagi, jika dibandingkan dengan skuad regu kita, kita nampak pasukan regu lebih menonjol berbanding skuad beregu dalam kejohanan ini.

“Untuk Aidil Aiman pula, beliau sebenarnya ada masalah gastrik. Jadi, ini semua atas diri pemain itu sendiri sebenarnya, kena jaga pemakanan dan kita juga ada pasukan perubatan dari ISN untuk pantau.

“Esok kita akan berdepan Korea Selatan di suku akhir, kita tengok segala kemungkinan termasuk menyediakan Noraizat sebagai apit kiri dan kita masih ada peluang,” katanya kepada pemberita.

Terdahulu, skuad beregu negara mara ke suku akhir selepas mengekalkan rekod bersih dalam aksi acara double Kumpulan A apabila membenam Brunei 15-9, 15-11.

Bagaimanapun, kemenangan itu tidak datang dengan mudah dengan Brunei berjaya memberikan saingan kepada Malaysia khususnya pada awal kedua-dua set hasil kesilapan pemain sendiri.

Sementara itu Noraizat berkata, beliau sedar gandingannya bersama Aidil Aiman agak goyah dalam dua perlawanan peringkat kumpulan dan akan memperbaiki perkara itu di peringkat kalah mati.

“Berdepan Korea Selatan, kita akan buat yang terbaik. Mereka bermain dengan baik dalam kejohanan ini. Saya akan gunakan segala kelebihan termasuk untuk menghadang libasan mereka,” katanya.

Dalam aksi suku akhir pada pukul 10.30 pagi esok, Aidil Aiman dan Noraizat perlu berwaspada kerana Korea Selatan sudah melaungkan amaran untuk melakar kejutan ke atas Malaysia.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN