PETALING JAYA: Selangor FC mengesahakn pihaknya telah menghantar surat kepada Liga Bolasepak Malaysia (MFL) bagi memohon aksi perlawanan Piala Sumbangsih yang bakal berlangsung pada Jumaat ini ditunda ke tarikh baharu.
Pengerusi Jawatankuasa Teknikal Selangor FC, Datuk Seri Shahril Mokhtar berkata, permohonan itu dibuat atas kebimbangan mengenai keselamatan pasukan susulan ayam tambatannya, Faisal Abdul Halim disimbah asid pada Ahad lalu.
“Hari ini Selangor FC membuat permohonan secara rasmi sekiranya pihak MFL dan juga JDT (Johor Darul Ta’zim) bersetuju untuk perlawanan Piala Sumbangsih kalau dapat diubah, bukan dibatalkan atas dasar keselamatan.
“Faktor tak boleh dedahkan. Kita sudah buat permohonan rasmi kepada MFL. Biar MFL teliti dan perbincangan lanjut akan dijalankan,” katanya selepas melawat pemain Faisal Halim di sebuah hospital swasta di Petaling Jaya hari ini.
Aksi Selangor dan Johor Darul Ta’zim (JDT) sepatutnya berlangsung pada Jumaat ini di Stadium Sultan Ibrahim (SSI).
Bagaimanapun, timbul kebimbangan mengenai soal keselamatan pemain selepas Faisal disimbah asid selain lokasi hotel penginapan skuad Selangor FC juga didakwa terdedah.
Sebelum ini, Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Datuk Stuart Ramalingam mengumumkan aksi Piala Sumbangsih tetap akan dilangsungkan pada Jumaat ini-UTUSAN










