KUALA LUMPUR: Hasrat Malaysia untuk melakar kejayaan hatrik di Piala Dunia Sepak Takraw 2024 tidak kesampaian apabila anak-anak buah Ahmad Jais Baharun tumpas 1-2 kepada Thailand di final, sebentar tadi.
Kekalahan itu juga menyaksikan kemarau untuk menamatkan badi kekalahan kepada Thailand dalam acara berpasukan terus berpanjangan selepas kali terakhir Malaysia menang ke atas Thailand ialah pada Sukan SEA Manila 1991.
Bagaimanapun, secara keseluruhan persembahan skuad sepak takraw negara wajar mendapat pujian selepas bergelar juara dunia dalam acara beregu dan regu selain bergelar naib juara dalam acara berpasukan.
Dalam aksi final berpasukan, Syahir Rosdi, Farhan Adam dan Azlan Alias menghadiahkan mata pertama Malaysia selepas menumpaskan Siriwat Sakha, Poramet Siriswat dan Varayut Jantarasena dalam aksi tiga set 9-15, 15-11,15-13.
Bagaimanapun kecemerlangan itu gagal diikuti Haziq Hairul Nizam, Amirul Zazwan Amir dan Noraizat Nordin apabila tumpas 8-15, 5-15 kepada regu kedua Thailand, Kritsanapong Nontakote, Wichan Temkort dan Pichet Pansan.
Kedudukan terikat 1-1 menyaksikan pemenang ditentukan dalam pertembungan regu ketiga dengan Malaysia mempertaruhkan Zuhri Zain (Zarif Merican), Aidil Aiman Azwawi dan Baihakki Arippin (Shahalril Aiman Halim).
Tekanan memuncak untuk meraih kemenangan pada perlawanan penentuan menyebabkan regu yang diketuai Aidil Aiman itu gagal meraih kemenangan biarpun memberikan saingan sebelum tumpas 15-12, 15-12
Kemenangan yang diraih Pornthep Tinbangbon (Sittipong Kamchan), Marukin Phanmakon dan Tanaphon Sapyen itu menyaksikan Thailand berjaya menebus maruah mereka apabila tumbang dalam acara final beregu dan regu kepada Malaysia pada Rabu lalu.-UTUSAN










