Malaysia sedia libas Indonesia di separuh akhir malam ini

Malaysia sedia libas Indonesia di separuh akhir malam ini

AZLAN Alias melakukan libasan ketika berdepan India dalam acara berpasukan di suku akhir Piala Dunia Sepak Takraw 2024 di Stadium Titiwangsa, hari ini.- GAMBAR- AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Malaysia melangkah ke separuh akhir acara berpasukan di Piala Dunia Sepak Takraw 2024 selepas menumbangkan India 2-0 di peringkat suku akhir, sebentar tadi.

Menanti Malaysia di separuh akhir malam ini ialah Indonesia yang menumpaskan Myanmar 2-0, manakala satu lagi aksi separuh akhir menyaksikan pertembungan antara Thailand dan Korea Selatan.

Dalam aksi menentang India, pengendali negara, Ahmad Jais Baharun mempertaruhkan regu juara dunia, Syahir Rosdi, Farhan Adam dan Azlan Alias untuk meraih kemenangan 15-3, 15-11 pada regu pertama.

Mata kemenangan Malaysia disumbangkan oleh trio yang diketuai Aidil Aiman Azwawi, Zarif Marican dan Shahalril Aiman Halim yang menumpaskan regu kedua India 15-5, 15-12.

Menurut Syahir, para pemain sudah mempamerkan persembahan terbaik dan sudah bersedia untuk berdepan Indonesia dalam aksi separuh akhir malam ini dengan perlawanan dijangka berlangsung sengit

“Kami kalau boleh setiap perlawanan mahu buat yang terbaik, ini Piala Dunia dan kita tidak boleh ambil mudah. Malam ini bertemu Indonesia dan saya jangka perlawanan akan berlangsung sengit.

“Indonesia juga pasti ingin ke final dan ingin menebus kembali kekecewaan mereka yang tewas kepada Malaysia ketika perlawanan akhir regu di Sukan Asia Jakarta-Palembang 2018 dahulu.

“Indonesia satu pasukan yang kuat selain mempunyai pemain berkualiti serta semangat juang yang tinggi jadi kita kena berjaga-jaga dan tidak terlalu yakin. Mereka pasti akan berjuang habis-habisan,” katanya.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN